KUALA LUMPUR: Pihak pengurusan Menara Berkembar Petronas memohon maaf ekoran dakwaan seorang lelaki bahawa dia diberi layanan tidak adil oleh kakitangannya ketika mengunjungi bangunan ikonik tersebut Jumaat lalu.
Lelaki itu endakwa kakitangan menara berkenaan bersikap pilih bulu dengan memberi layanan istimewa dan mendahulukan satu pasangan ‘mat salih’ untuk menaiki Skybridge KLCC, meskipun dia telah mendapat slot dan menunggu lebih awal.
Pengurusan menara itu dalam satu kenyataan berkata, mereka sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.
“Pihak pengurusan operasi lawatan Menara Berkembar Petronas ingin memohon maaf di atas insiden yang telah berlaku.
“Kami memandang berat perkara ini dan sedang menjalankan siasatan dengan kadar segera. Kami akan memastikan hal ini tidak berulang lagi. Segala kesulitan amat kami kesali,” menurut kenyataan tersebut.
Sebelum itu tular hantaran di Facebook seorang lelaki yang dikenali sebagai Shamsuddin Nawi mendakwa amalan pilih bulu oleh kakitangan menara tersebut.
Dalam hantarannya berkata dia beratur pada pukul 11.30 pagi dan dapat membeli tiket untuk slot pukul 4 petang bagi menaiki menara tersebut.
Kemudian katanya, dia datang semula pada pukul 2 petang dan menunggu di ruang menunggu sehingga jam 3.45 petang untuk beratur bagi mengimbas tiket.
“Lebih kurang pukul 3 petang datanglah pegawai Melayu yang pakai tie warna Petronas itu ke kerusi bulat sebelah bertanya kepada couple Mat Salih tiket naik pukul berapa.
“Mat salih itu jawab pukul 4.15 petang. Pegawai itu kenyit mata dan (bagi) signal suruh couple mat salih itu ke depan supaya boleh naik awal.
“Mulalah tertanya-tanya apa hal pula mat salih boleh naik dulu. Saya ini yang dah tunggu lebih awal tidak pula dilayan begitu,” ujarnya. – UTUSAN