LIMBANG: Polis daerah Limbang berjaya menahan sepuluh individu yang disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah menerusi Ops Tapis Khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Siri 5 selama tiga hari sejak 20 November lalu.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Parum Niot berkata, dua daripada sepuluh individu yang ditahan adalah wanita.
“Operasi yang dijalankan serentak di seluruh negeri itu berjaya melakukan enam serbuan dan 14 pemeriksaan di beberapa lokasi termasuk lubuk panas aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah itu.
“Hasil serbuan yang dijalankan seramai 10 individu telah ditangkap atas kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dadah jenis syabu bernilai RM1,000 berjaya dirampas,” katanya.
Tambah Parum, daripada jumlah syabu yang dirampas adalah dianggarkan seberat 5.25gram yang mana boleh digunakan oleh seramai 26 orang penagih
“Dalam tangkapan tersebut empat individu ditangkap di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan enam individu lagi ditangkap di bawah Sekysyen 15(1)(a) ADB 1952.
“Hasil ujian awal saringan air kencing ke atas 10 individu tersebut didapati kesemua positif dadah.
“Manakala dua perempuan daripada 10 individu yang ditahan, telah dituduh di Mahkamah Majistret Limbang di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mempunyai dua rekod kesalahan lampau di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan telah dijatuhkan hukuman penjara selama lima tahun oleh Majistret Limbang,” jelasnya lagi.
Sementara itu Parum menegaskan, pihak polis JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang serius dalam misi membanteras dadah bagi menentukan negara dan masyarakat kekal selamat, aman dan sejahtera.
“Saya berharap orang ramai dapat menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah dan jenayah kepada pihak polis,” katanya lagi.
Sehubungan itu, mana-mana individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Limbang di talian 085-211466 atau Hotline Polis Sarawak di talian 08-2245 522 atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – UTUSAN