MENEMUKAN seseorang yang sesuai dengan keinginan sendiri, tentunya menjadi kebahagiaan luar biasa. Namun, datang, lambat atau cepat bukan urusan kita.
Ini kerana Allah Taala akan memberikan jodoh sesuai apa yang kita perlukan, bukan hanya apa yang diinginkan.
Minggu ini saya kongsikan dilema Sufian (bukan nama sebenar). Bujang tua berusia 52 tahun ini berada dalam dilema, sama ada mahu meneruskan atau menamatkan sahaja hubungan dengan seorang wanita muda berusia 23 tahun.
Dalam kiriman emel kepada saya baru-baru ini, Sufian menulis yang dirinya berbelah bahagi untuk meneruskan hubungan itu ke peringkat lebih serius iaitu perkahwinan.
Lelaki berasal dari pantai timur itu tidak menyangka pertemuan dengan Idayu, (bukan nama sebenar) tiga bulan lalu, menjentik hati dan perasaan cintanya sebagai seorang lelaki.
Ini kerana sudah hampir dua dekad pintu hatinya tertutup untuk mana-mana wanita selepas apa yang dilalui.
Sebelum itu dua kali dia mempunyai teman wanita dan bercinta dengan niat berkahwin.
Manakala seorang lagi diatur keluarga dan begitu hampir untuk berkahwin namun perkahwinan
dirancang tidak menjadi.
“Sejujurnya saya masih dihantui perkara lalu. Tambahan pula di usia lewat begini terlalu
banyak pula saya fikirkan,” tulisnya.
Bercerita lanjut mengenai Idayu, wanita itu merupakan adik kepada rakan sepejabat yang secara kebetulan ditemui semasa menghadiri majlis keluarga.
Wanita kecil molek, bertudung litup itu, menambat hatinya pada pertemuan pertama kali. Malah perhubungan mereka turut direstui keluarga.
Menyingkap kisah lalu, tulisnya, semasa menuntut di universiti, dia pernah menjalinkan hubungan cinta
dengan seorang gadis bernama Mera.
Pun begitu di tahun ketiga, hubungan mereka mendapat halangan keluarga Mera.
Memang kecewa, namun kata Sufian, dia bersedia mengundur diri dan menerima hakikat tiada jodoh antara mereka.
Tamat pengajian, rezeki Sufian mendapat pekerjaan di salah sebuah bank di utara tanahair.
Di tempat kerja, dia jatuh cinta dengan rakan sepejabat. Cinta tidak bertepuk sebelah tangan. Bagaimanapun percintaannya dengan Alia itu hanya bertahan dua tahun.
Alia berubah hati sejak bertukar ke cawangan lain di Kuala Lumpur. Awalnya, hubungan percintaan
jarak jauh mereka baik-baik sahaja. Namun semakin renggang selepas teman wanitanya itu bertemu lelaki lain.
Sekali lagi, Sufian patah hati tetapi reda dan berlapang dada.
“Tiada gunanya mencintai seseorang, sedang di hatinya ada orang lain.
“Lebih baik putus ketika masing-masing belum ada ikatan,” tulisnya.
Kata Sufian, hampir tiga tahun dia cuba menjauhkan diri daripada meletakkan perasaan untuk jatuh cinta lagi dengan mana-mana perempuan.
Sufian lebih menumpukan banyak masa kepada kerja tanpa mahu memikir soal cinta.
Tanpa sedar Sufian semakin lanjut usia. Memasuki usia pertengahan 30-an kedua ibu bapanya mulai bertanyakan soal rumahtangga.
Setiap kali dia pulang pada hujung minggu ke kampung, kedua orang tua sering berkias mengenainya.
Ini lebih-lebih lagi dua adiknya, Nani dan Lina (bukan nama sebenar) masing-masing lebih awal
mendirikan rumah tangga.
Ketika itu, kata Sufian, dia tiada pilihan lain selain terpaksa bersetuju dengan permintaan dan menyerahkan kedua ibu bapa mencari calon isteri.
Kurang dua minggu, dia dipanggil pulang untuk diperkenalkan dengan seorang gadis kampung Zulaika, (bukan nama sebenar).
“Melihat Zulaika pertama kali, sejujurnya saya berkenan. Saya percaya kepada pilihan orang tua. Apa yang saya harapkan ketika itu wanita itu akan menjadi makmum suatu hari nanti,” tulis Sufian.
Selepas keluarga masing-masing bersetuju, majlis pertunangan dan perkahwinan pada hari sama ditetap.
Namun siapalah kita untuk menidakkan apa yang ditetapkan Allah Taala. Sebagai manusia, Sufian dan
keluarga hanya merancang, Allah menentukan.
Seminggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung, Zulaikha dan kedua ibu bapanya terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang membeli barangan persediaan majlis.
Dua hari selepas kejadian, Zulaikha menghembuskan nafas akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.
Kejadian itu benar-benar meninggalkan kesan mendalam kepada diri Sufian.
Berbulan lamanya Sufian cuba membuang kesedihan sebelum dia memutuskan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa dan enggan lagi memikirkan mencari pasangan hidup.
Tanpa komitmen perkahwinan, Sufian terus fokus kepada kerjayanya yang semakin memuncak.
Sesekali dia mengambil cuti, melancong ke luar negara bersama rakan-rakan berstatus sama.
Dia enggan melepaskan kehidupan bujangnya yang dianggap lebih menyeronokkan dan menggembirakan hati.
Seminggu, sebulan, memasuki tahun-tahun seterusnya usia Sufian semakin meningkat. Sehinggalah kata Sufian, selepas bertemu Idayu hatinya mula terbuka untuk menerima wanita dalam hidupnya.
Namun sehingga ke hari ini dia masih belum memutuskan apa-apa.
Dalam hal perkahwinan, Allah SWT berfirman bermaksud: Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kami (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kami (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir. (Ar-Rum:21)