Bekas jurutera kini mengait beg

Bekas jurutera kini mengait beg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEDEKAD lalu, ibu kepada empat anak ini mengambil keputusan melepaskan kerjayanya sebagai jurutera bagi menumpukan sepenuh perhatian kepada keluarga.

Kesibukan tugas sebagai surirumah bagaimanapun tidak menghalang Datin Che Puteh Ismail, 51, untuk memiliki hobi dalam seni kraf mengait.

Menurut wanita kelahiran Kedah ini, segalanya berlaku tanpa diduga apabila anak sulung tiba-tiba menghadiahkan perkakas mengait selepas pulang dari sekolah.

Paling lucu apabila beliau terpaksa menyembunyikan hobi tersebut daripada pengetahuan suami kerana bimbang tidak mendapat sokongan.

Biarpun semua ahli keluarga tahu bakat terpendamnya itu dipelajari sejak kanakkanak lagi.

“Hampir lima bulan aktiviti mengait dibuat secara sorok-sorok di dalam bilik sebelum kisah sebenar terbongkar.

“Saya akhirnya berterus-terang dengan suami kerana memerlukan bantuannya untuk mengepos tempahan pelanggan,” katanya ketika ditemui di Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) di Kuala Lumpur, baru-baru
ini.

TERTARIK TENGOK KAKAK
Jika segelintir individu perlu mengikuti kelas tertentu untuk belajar mengait, tetapi lain bagi Che Puteh yang menguasainya hanya menerusi pemerhatian.

Seawal usia sembilan tahun beliau sudah memegang jarum dan benang kerana tertarik melihat kakaknya melakukan aktiviti itu.

Pendedahan sejak kecil membolehkannya mahir ilmu asas mengait walaupun tidak berguru dengan sesiapa.

“Saya ‘curi’ jarum serta benang kakak untuk mengait secara diamdiam hingga pandai membuat teknik jahitan tali air.

“Tetapi bakat mengait itu tidak dikembangkan dan hanya diteruskan kembali apabila berusia 41 tahun,” katanya.

Bagi memantapkan dan mempelbagaikan skil mengaitnya, Che Puteh menjadikan video di
Youtube sebagai rujukan utama.

TOPI, KERONGSANG, KOPIAH
Pada peringkat permulaan, wanita ini cukup teruja dapat menghasilkan barangan diperbuat daripada kait.

Beberapa produk itu kemudian dijual oleh anak-anaknya di sekolah.

“Pada masa itu hanya dua kerongsang kait sahaja yang laku dibeli kawan anak.

“Saya kuatkan semangat dan cuba membuat kopiah pula, tidak sangka produk itu dapat sambutan hangat,” katanya.

Selain kopiah, barangan lain yang dihasilkan ialah topi serta sarung tangan dan kaki bayi.

LEBIH 2,000 BEG PUTEH LARIS
Lama-kelamaan timbul rasa bosan membuat barangan sama dan Che Puteh mencabar dirinya untuk menghasilkan beg pula.

Pembuatan beg kait bermula sejak 2019 dan sepanjang tempoh itu, lebih 2,000 beg keluarannya di
bawah jenama Puteh sudah terjual secara dalam talian.

“Secara purata saya menerima hampir 100 tempahan setiap bulan daripada pelanggan dalam dan luar
negara.

“Antara rekaan yang laris ialah padi terung selain kekasih hati, ombak cinta, lenggang mak limah dan pujaan hati. Semuanya dijual antara RM150 hingga RM200 sahaja,” katanya.

Kesemua nama-nama rekaan itu diilhamkan secara spontan sama ada berkaitan keluarganya dan orang-orang di sekeliling.

BENANG MAIN PERANAN
Pemilihan benang berkualiti seperti pp spring dan gabai amat dititikberatkan agar beg tidak lembik atau berbulu.

“Sebenarnya, semua aspek main peranan daripada jenis benang, jarum dan pengalaman
seseorang.

“Bagi yang baru berjinak-jinak, mungkin hasil kaitan mereka tidak sekemas dan teratur berbanding individu pakar. Apa yang penting, teruskan berlatih hingga mahir,” katanya.

Kongsinya lagi, proses pembuatan beg tidak memakan masa lama dan boleh disiapkan dalam tempoh sehari bergantung kepada saiz.

Kini, trend beg lebih tertumpu kepada yang bersaiz kecil dan comel.

JADI PILIHAN KENAMAAN
Kehalusan kerja tangan dan kualiti yang ditonjolkan Che Puteh, membolehkan jenamanya menjadi pilihan golongan kenamaan.

Baru-baru ini, salah satu rekaan begnya dibeli Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Beg padi terung berwarna merah putih itu digayakan baginda ketika menghadiri sebuah majlis.

Che Puteh menjunjung kasih atas kesudian Raja Puan Muda Kedah membeli produknya.

Secara tidak langsung, usahanya itu dapat memartabatkan lagi seni kraf tempatan agar tidak lapuk ditelan zaman.

“Banyak jenama mewah kini turut memperkenalkan beg kait antaranya Miu Miu, Loewe, Prada, YSL dan Longchamp,” katanya yang menjelaskan bakat mengait beliau itu kini diwarisi anak ketiga dan keempat yang masing-masung berusia 17 dan 15 tahun.


JUAL POLA, BANTU WANITA
Bagi berkongsi ilmu, Che Puteh turut menjual pola-pola jahitan beg keluarannya.

Sehingga kini lebih, 100 pola sudah terjual dengan setiap satu berharga RM25 sahaja.

Menariknya, inisiatif itu berjaya memperkasakan kaum hawa terutama golongan surirumah sehingga mereka mampu meraih pendapatan sendiri.

“Melalui jualan pola, ada surirumah yang dahulu sekadar mengait suka-suka tetapi kini boleh memiliki produk sendiri dan menjualnya.

“Saya tumpang gembira kerana perkongsian ilmu yang kecil ini dapat memberi limpahan rezeki lumayan kepada insan lain untuk mengubah nasib keluarga dan berharap dapat membantu lebih ramai lagi wanita.

“Saya sendiri pun tidak pernah dapat bergelar usahawan hanya menerusi hobi mengait,” katanya.

Rekaan pola yang unik dan ringkas turut menarik pelanggan dari Singapura, Brunei, Arab Saudi, Canada dan Australia untuk membelinya.

Selain itu, Che Puteh turut meluaskan hobinya dengan menjual pelbagai jenis benang dengan dibantu rakan kongsi, Nina Mohd. Noor, 53.

EKSPERIMA 4,5 KALI
Tidak semua rekaan beg kait yang dihasilkan menjadi dan ada di antaranya terpaksa dibuat berkali-kali.

Daripada situ, Che Puteh belajar yang mungkin kiraan pola dibuat bermasalah sama ada terkurang atau terlebih.

“Pernah sehingga empat lima kali kaitan tidak menjadi dan terpaksa dibuka kembali sampai lunyai benang.

“Mengait memang memerlukan kesabaran yang tinggi selain terus berusaha sampai jadi,” ujarnya lagi.

Sepanjang terlibat dalam hobi ini, Che Puteh memiliki kira-kira 50 jarum berjenama Tulip dari Jepun.

Jenama itu menjadi pilihannya kerana selesa, ringan dan tahan lama. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya