ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) menghidupkan peluang untuk mara ke pusingan seterusnya apabila menewaskan Ulsan Hyundai 2-1 dalam aksi Kumpulan I saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad bimbingan Esteban Solari tampil dengan aksi lebih meyakinkan ketika berdepan juara Liga 1 Korea Selatan berbanding pertemuan pertama sebelum ini di Munsu.
Skuad Harimau Selatan hampir membuka jaringan seawal minit keempat berpunca daripada hantaran Oscar Arribas kepada Bergson Da Silva namun tandukan penyerang kelahiran Brazil itu sekadar melewati palang gol.
Skuad bimbingan Hong Myung-bo bertindak balas dengan melakukan percubaan berbahaya ke gawang lawan tetapi Shane Lowry bertindak cemerlang mematikan percubaan tersebut.
Ulsan Hyundai yang turun tanpa kelibat Gustav Ludwigson selepas meledak dua gol ketika menentang JDT tampak tumpul dan tidak banyak melakukan percubaan ke arah gawang pasukan tuan rumah.
JDT seharusnya sudah berada di hadapan pada minit ke-40 menerusi percubaan Bergson yang mendapat umpanan Heberty Fernandes melepas rembatan deras, sayangnya percubaan itu sekadar menggegar palang gol.
Ketika aksi babak pertama dilihat beraksi tanpa jaringan, Heberty Fernandes tampil dengan idea yang berbeza apabila menerima umpanan Afiq Fazail melepaskan rembatan kencang menewaskan Hyeonwoo bagi meletakkan JDT mendahului 1-0.
Bersambung babak kedua, Fernandes berupaya menambah jaringan peribadinya namun sepakan bebas yang diambil pada minit ke-48 sekadar menggegar tiang gol pelawat.
Anak didik Myung-bo tampil menggandakan asakan bagi memburu jaringan penyamaan namun tidak berjaya melepasi benteng ampuh pasukan tuan rumah.
Ketika pasukan JDT tampak leka, Valeri Qazaishvili membuat umpanan cantik melepasi beberapa pemain Harimau Selatan yang disambut Ataru Esaka sebelum berjaya meletakkan bola ke gawang lawan pada minit ke-68.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad Harimau Selatan bagaikan harimau tercedera semakin buas melancarkan serangan untuk kembali berada di hadapan.
Tindakan Solari yang membawa masuk Akhyar Rashid membawa tuah apabila sentuhan pertama pemain sayap itu berjaya menjelmakan gol kemenangan buat JDT pada minit ke-86 selepas memanfaatkan umpanan Arif Aiman Hanapi.
Ahmad Syihan Hazmi muncul penyelamat JDT apabila bertindak cemerlang menafikan beberapa peluang keemasan pasukan pelawat bagi memastikan gawang tuan rumah tidak dibolosi dan tiga mata menjadi milik Harimau Selatan.