SHAH ALAM: Laluan sepanjang 120 kilometer merentasi Central Forest Spine (CFS) dari Hulu Selangor hingga ke Hulu Langat akan diwujudkan sebagai sebahagian daripada perisytiharan Hutan Warisan Diraja Selangor (HWDS).
Ia merupakan sebahagian daripada perancangan untuk menjadikan 26 kawasan hutan simpan kekal (HSK) yang diisytihar sebagai HWDS sebagai antara tarikan pelancong terutama penggemar aktiviti lasak seperti mendaki serta merentas hutan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagaimanapun kemasukan orang awam ke kawasan hutan yang digazetkan sebagai HWDS akan dikawal bagi memastikan kualiti dan biodeversitinya terpelihara.
“Menariknya, jalan yang sudah disusun atur oleh mereka (Jabatan Perhutanan Selangor) sejauh 120 kilometer dan kalau itu betul-betul dibuat, ia akan menjadi salah satu daripada tarikan pelancongan terutama mereka yang sangat rapat aktiviti merentas hutan dan mendaki.
“Itu boleh menjadi produk di masa depan, tetapi sudah pasti kena kawal jumlah kemasukannya kerana ia akan memberi impak terus terhadap kualiti hutan, kalau kita benarkan terlalu ramai masuk (hutan) ia akan kurang kawalan kebersihan, penjagaan, pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Perisytiharan HWDS serta Seminar Mini Ekspedisi Saintifik Sungai Chiling Hutan Simpan Hulu Selangor, hari ini.
Terdahulu Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan 108,000 hektar kawasan hutan CFS sebagai HWDS.
Perisytiharan tersebut dibuat bagi menjadikan kesemua kawasan HSK di bawah Hutan Taman Negeri itu dijadikan hutan yang mencakupi aspek-aspek konservasi, penyelidikan, pendidikan, rekreasi, eko-pelancongan dan sebagainya.
Dalam pada itu, Amirudin menambah, kerajaan negeri melalui Jabatan Perhutanan Negeri akan memudahkan pendaftaran dan kawalan kemasukan ke kawasan HSK sebagai usaha memperkenalkan dan meningkatkan kesedaran berkenaan kepentingan penjagaan hutan.
“Macam semalam (sebelum ini) saya berada di Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM), Selayang. Dengan mereka untuk masuk (ke hutan) anda boleh menggunakan aplikasi di peringkat awal sebelum pergi, sudah daftar, untuk pergi skywalk dan sebagainya daftar melalui aplikasi tanpa beratur di kaunter.
“Jadi, kalau hendak beratur di kaunter masih ada, tetapi lebih baik dengan aplikasi sebab kita hendak kawal jumlah orang naik dan turun,” ujarnya.
Katanya lagi, Jabatan Perhutanan Selangor turut menjalin kerjasama dengan Penyelidikan dan Pembangunan (RnD) Telekom Malaysia (TM) bagi membangunkan perisian untuk memantau aktiviti dalam hutan.
“Di sana mereka membangunkan satu perisian untuk memantau keadaan hutan. Jadi, beberapa aktiviti dapat dikesan termasuk kemasukan orang awam, pergerakan haiwan, kebakaran dan juga pelbagai aktiviti lain seperti tanah runtuh dengan sensor ataupun laporan diberikan.
“Jadi dashboard itu akan diletakkan di Jabatan Hutan Selangor dan itu adalah sebahagian daripada proses big data analysis yang diaturkan oleh jabatan berkenaan dan kita di peringkat negeri ada dashboard sendiri atau command centre negeri,” jelasnya. – UTUSAN