JOHOR BAHRU: Skuad remaja kebangsaan bermula langkah kiri apabila tewas 2-3 di tangan New Zealand pada aksi pembukaan Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 di Taman Daya hari ini.
Dalam aksi pertama Kumpulan B itu, skuad remaja kebangsaan bertahan dengan baik apabila menyekat pasukan lawan daripada membuat larian memasuki kawasan gol Malaysia.
Bagaimanapun kubu Young Tigers bolos jua pada minit keenam setelah New Zealand memecah kebuntuan mencipta jaringan berpunca daripada pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Luke Aldred.
Seminit berselang, pasukan kendalian Muhamad Amin Rahim menyamakan kedudukan hasil pukulan penalti kapten, Faris Harizan.
Pada minit ke-15, New Zealand kembali berada di hadapan menerusi jaringan pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Scott Cosslett menewaskan penjaga gol, Rafaizul Sani.
Bersambung suku kedua, pasukan tuan rumah menggandakan asakan dengan mempamer corak permainan lebih bertenaga dan berjaya menyamakan kedudukan apabila Faris menambah jaringan peribadinya menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-24.
The Black Sticks sekali lagi berada di hadapan pada suku ketiga setelah James Hickson menjaringkan gol padang menewaskan Rafaizul pada minit ke-33 untuk berada di hadapan.
The Young Tigers hampir berpeluang untuk menyamakan kedudukan namun kecekapan Hayden Ganley menafikan dua percubaan gol padang pasukan tuan rumah pada penghujung suku ketiga.
Pada suku keempat, skuad remaja kebangsaan menyerang habis-habisan untuk memburu gol untuk sekurangnya mengutip satu mata namun gagal berbuat demikian.
Skuad remaja kebangsaan dihadiahkan dua pukulan sudut penalti pada suku terakhir itu namun gagal disudahkan oleh Shahmie Irfan Suhaimi bagi kedua-dua percubaan itu.
Dalam satu lagi pertemuan Kumpulan B, penyandang juara, India terpaksa berkongsi mata dengan Pakistan setelah perlawanan sengit antara nama besar hoki antarabangsa itu berkesudahan seri 3-3.
India membuka tirai jaringan pada minit ke-30 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Lakra Amandeep, namun Pakistan pantas menyamakan kedudukan pada suku ketiga bermula menerusi jaringan Arbaz Ahmad, juga menerusi pukulan sudut penalti.
Pakistan yang dibimbing Roelant Oltmans berada di hadapan selepas kapten Abdul Sahid menjaringan gol padang pada minit ke-48 namun kelebihan itu tidak bertahan lama selepas Arjun Lalage Aditya bangkit menyamakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti.
Pakistan sekali lagi mendahului hasil gol pukulan sudut penalti Arbaz Ahmad namun
skuad kendalian C.R Kumar menjaringkan gol penyamaan menerusi gol padang kapten Uttam Singh seminit sebelum tamat perlawanan, meranapkan impian Pakistan mengutip tiga mata. – UTUSAN