UMS terima masuk 298 pelajar B40

UMS terima masuk 298 pelajar B40

HAJIJI Noor (tengah) dan Kasim Mansor (lapan kanan) bersama pegawai kanan UMS merakamkan gambar kenangan bersama pelajar baharu UMS di Kota Kinabalu hari ini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Seramai 298 orang pelajar daripada golongan B40 diterima masuk ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerusi Program Sulung 2.0 bagi sesi kemasukan 2023/2024.

Program Sulung yang dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu memberi peluang kepada pelajar B40 memasuki universiti sebagai wakil pertama daripada keluarga B40 ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, pada sesi kemasukan kali ini, UMS menerima seramai 4,721 orang pelajar termasuk 22 pelajar antarabangsa dari sembilan buah negara.

Daripada jumlah itu, 3,869 pelajar ditempatkan di UMS Kampus Kota Kinabalu, 661 pelajar di Kampus Antarabangsa Labuan dan 191 pelajar di Fakulti Pertanian Lestari, Kampus Sandakan.

“Jumlah ini merangkumi 66 peratus atau 3,108 pelajar dari Sabah, 22 peratus ATAU 1,012 pelajar dari Semenanjung Malaysia, 11 peratus ATAU 513 pelajar dari Sarawak dan satu peritus atau 65 pelajar dari Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pelajar antarabangsa pula termasuk 10 pelajar dari China, masing-masing tiga orang pelajar Jepun, dan Indonesia manakala, setiap seorang pelajar dari Bangladesh, India, Republik Yemen, Korea Selatan, Lebanon dan Myanmar,” katanya semasa Majlis Ikrar dan Aku Janji sempena Minggu Suai Mesra sesi 2023/2024, di sini hari ini.

Menurut beliau, pengambilan pelajar pada sesi ini turut merangkumi tawaran prasiswazah laluan khas UMS iaitu sebanyak 2,620 bagi pelajar B40 ambilan UPUonline, lapan atlet sukan dan 10 Orang Asli. Malah, UMS turut menerima seramai 15 pelajar orang kurang upaya (OKU). 

Sementara itu, Ketua Menteri merangkap Pro Canselor UMS, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pihak IPT termasuk UMS perlu memperkukuh kerjasama dengan pemain industri dalam aktiviti penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi.

“Kerajaan negeri yang mengamalkan mesra pelabur amat memerlukan graduan yang berpengetahuan dan berkemahiran untuk memenuhi permintaan pihak industri. 

“Maka, saya berharap UMS akan menjadi universiti yang mampu mengeluarkan graduan yang tersedia masa hadapan”, katanya.

Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk memperkasa pembangunan pendidikan dan infrastrukturnya dalam usaha melahirkan modal insan yang berkualiti. 

“Hanya dengan pendidikan yang baik mampu mengubah kualiti hidup rakyat yang akhirnya menyumbang kepada kejayaan dan kecemerlangan negara khususnya negeri Sabah,’’ katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya