KEPALA BATAS: “Ini kali kedua saya datang ke MSAM (Minggu Saham Amanah Malaysia) di sini (Pulau Pinang). Masa ‘mai’ (datang) sini dulu (tahun 2004), tak meriah sangat macam hari ini.”
Itu kata Hazrul Hadi Shamsuddin, 42, yang tidak melepaskan peluang untuk datang sekali lagi kerana tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan informasi serta maklumat terkini berkaitan saham dan pelaburan semasa.
Hazrul Hadi yang juga seorang pensyarah di sebuah kolej tempatan berkata, ketika MSAM diadakan di Pulau Pinang kira-kira 19 tahun lalu, dia masih bujang dan tidak begitu nampak akan kepentingan pelaburan terhadap masa depan diri dan keluarga.
“La ni (sekarang) semua ada. Dah macam ‘one stop centre’ (pusat sehenti) pula.
“Bukan saya sahaja yang seronok. ‘Orang rumah’ (isteri) pun seronok sebab dapat banyak hadiah lepas masuk macam-macam peraduan.
“Anak-anak pula seronok main macam-macam permainan interaktif. Sambil main, sambil belajar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
MSAM yang juga Karnival Literasi Kewangan Terbesar negara berlangsung di Setia Fontaines, Bertam di sini sejak Sabtu lalu dan dijangka melabuhkan tirainya, Ahad ini.
Dalam pada itu, seorang remaja, Khairul Amri Azmiruddin, 14, berkata, ini hari ketiga berturut-turut dia datang ke MSAM yang terletak tidak jauh dari rumahnya di Kampung Paya Keladi, di sini.
“Hari pertama datang dengan emak dan adik sebab teman adik buka ASB (Akaun Simpanan Bumiputera).
“Esok tu (hari kedua) pula (datang) dengan kawan sebab dia ajak jalan-jalan sambil kumpul hadiah peraduan dan hari ini saya datang ‘sorang-sorang’ (seorang diri) sebab kawan ada kelas tambahan. Memang ‘best’,” kata anak sulung daripada tiga beradik itu.
Dalam pada itu, seorang petugas di sebuah gerai pempamer yang hanya mahu dikenali sebagai Azira, 30, memberitahu, kebanyakan pengunjung singgah untuk bertanyakan maklumat serta bermain permainan interaktif untuk mendapat cenderahati yang disediakan oleh majikannya.
“Kalau nak ikut, bukan sahaja remaja dan kanak-kanak yang suka bermain permainan interaktif ini, ibu bapa pun kadang-kadang turut-serta sekali,” katanya. – UTUSAN