PETALING JAYA: UMNO perlukan individu-individu yang lebih berkualiti untuk kekal relevan di kalangan orang Melayu di negara ini dan mempunyai masa depan lebih cerah dalam kancah politik tanah air.
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika menyuarakan pandangannya, bertitah, sebagai sebuah parti Melayu yang kuat dan mempunyai asas yang kukuh, UMNO tidak boleh mengekalkan sistem lama seperti yang diamalkannya kini.
“Saya rasa mesti ada orang-orang yang boleh membawa dinamika berbeza di mana (dia) boleh kaitan (UMNO) dengan senario masa kini di negara.
“Masa depan ada tetapi ada sesetengah individu perlu pergi… mungkin, untuk ada masa depan. Jika masih dengan sistem yang lama seperti sekarang, saya tak rasa UMNO ada masa depan dalam negara, melainkan mereka berubah,” titahnya.
Baginda bertitah demikian dalam podcast ‘Keluar Sekejap’ yang dihoskan oleh bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan.
Mengulas lanjut, baginda bertitah, selain usia, kelayakan juga ukuran penting dalam menentukan kesesuaian seseorang menjadi ahli politik.
“Kalau anda muda, tetapi lebih kepada populis dengan hanya bercakap berdasarkan teori tanpa praktik, anda tak patut berada dalam bidang politik.
“Bukan nak kata usia, tetapi pandangan yang tidak begitu relevan dengan senario semasa negara. Tentu kita perlu orang muda dalam kerajaan atau politik, tapi bukan hanya berdasarkan usia, tetapi juga kelayakan,” titahnya.
Pada masa sama, Tunku Mahkota Johor juga berharap Khairy dan Shahril kembali ke pangkuan UMNO bagi menyumbang bakti untuk memajukan negara.
“Saya nak tengok orang-orang lebih layak berkhidmat dalam kerajaan, bukan berdasarkan senioriti, tetapi kelayakan. Itu sebab saya nak anda berdua kembali ke UMNO,” titahnya. – UTUSAN