PETALING JAYA: Penantian untuk melihat skuasy menjadi sebahagian daripada temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik Los Angeles 2028 akan diketahui hari ini apabila Mesyuarat Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) bersidang.
Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) adalah antara pihak yang berdebar menantikan keputusan pada hari ini memandangkan mereka telah lama berjuang untuk meletakkan sukan ini di peringkat Olimpik sejak era kegemilangan Datuk Nicol Ann David.
Majlis IOC pada Jumaat telah pun bersetuju menyokong cadangan skuasy bersama-sama lima sukan lain untuk disenaraikan ke dalam Sukan Olimpik Los Angeles 2028, namun perlu menunggu persetujuan semua ahlinya sebelum dapat dimuktamadkan pada hari in.
“Saya telah lama berjuang untuk skuasy dimasukkan ke dalam Sukan Olimpik sejak dua dekad lalu. Sejak Tan Sri Tunku Imran Ja’afar menjadi presiden SRAM, sehinggalah kepimpinan terkini.
“Kami telah melakukan segala-galanya dan akhirnya ia bakal membuahkan hasil. Ini akan menjadi berita yang amat gembira dan menarik buat kami.
“Jika ia dapat direalisasikan, Persekutuan Skuasy Dunia (WSF) akan mengeluarkan format yang bersesuaian bagi kelayakan untuk jumlah pemain yang akan beraksi di temasya itu mengikut benua, negara ataupun ranking dunia,” jelas Pengarah Kejurulatihan SRAM, Mejar (b) S.Maniam.
Sekiranya impian ini dapat direalisasikan, SRAM turut mencongak strategi terbaik untuk membawa pulang pingat dari temasya sukan itu memandangkan skuad skuasy negara sering dijadikan harapan dalam beberapa temasya sukan sebelum ini.
Ketika di Sukan Asia Hangzhou 2022, skuasy membawa pulang tiga pingat emas, satu perak dan satu gangsa, sekaligus melepasi sasaran yang ditetapkan sebelum ini, iaitu satu pingat emas sahaja.
“Menurut perkiraan kasar, sekiranya ada pemain yang ingin memenangi pingat di Sukan Olimpik, mereka seharusnya berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
“Ketika ini, kita ada Ng Eain Yow dan S.Sivansagari yang sedang mengintai untuk menempatkan diri dalam kedudukan itu. Berikan tempoh selama lima tahun dengan perancangan yang rapi, saya yakin kedua-dua pemain ini akan menjadi pemain 10 terbaik dunia.
“Jika kita mahu naikkan lagi taraf skuasy, maksudnya saya sasaran ke Olimpik, kita harus menghantar lebih banyak pemain kita menyertai pertandingan di luar negara untuk pendedahan dan mengejar mata ranking dunia,” tambahnya.-UTUSAN