PETALING JAYA: Tidak meletakkan sebarang sasaran pingat emas dilihat sebagai formula terbaik buat kontinjen negara untuk menghadapi temasya-temasya sukan akan datang.
Pendekatan itu terbukti membuahkan hasil apabila kontinjen negara berjaya melepasi sasaran 27 pingat keseluruhan tanpa warna ditetapkan dengan membawa pulang 32 pingat yang terdiri daripada enam emas, lapan perak, dan 18 gangsa.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berpendapat pendekatan ini perlu dikekalkan kerana ia membawa kebaikan kepada atlet yang bertanding tanpa tekanan melampau seperti sebelum ini.
Jelasnya, meskipun pada awalnya ada pihak yang menentang dan tidak bersetuju dengan kaedah yang kali pertama digunapakai itu namun berdasarkan kejayaan diraih di Hangzhou, ia sedikit sebanyak membuka mata bahawa perubahan tersebut selari peredaran zaman.
“Pembaharuan dan kaedah baharu yang dicadangkan NSSU (Universiti Sains Sukan Nippon) telah membuahkan hasil. Mungkin perubahan dibuat, ada yang tidak gembira tetapi kita tidak takut pada perubahan sekiranya ia bawa kebaikan untuk atlet.
“Kita tidak buat perkara (sasaran) ini kerana cara baharu, ia adalah nasihat NSSU kepada kita. Kalau cakap dengan atlet di sana (yang bertanding di Hangzhou), mereka rasa tekanan seperti tidak wujud. Kalau benda itu baik, kita akan teruskan,” jelas Hannah yang sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.
Terdahulu, buat kali pertama dalam sejarah sukan tanah air, Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia di Hangzhou, China tidak meletakkan jumlah spesifik berhubung kutipan pingat emas apabila hanya mengumumkan 27 pingat menjadi sasaran negara secara keseluruhan.
Dalam masa yang sama, Hannah bercadang untuk membentangkan pencapaian Kontinjen Malaysia dalam mesyuarat kabinet menjelang Bajet 2024 Jumaat ini bagi mendapatkan dana lebih besar untuk warga sukan tempatan.
“Dalam mesyuarat kabinet minggu ini, saya akan bentangkan pencapaian pasukan Malaysia. Jika buat perbandingan dengan negara lain, tidak boleh tengok dari segi pingat sahaja kerana pelaburan yang dibelanjakan setiap negara perlu diambil kira.
“Jika kita melihat rekod lampau, yang berjaya memang perlukan pendedahan di luar negara dan memang betul apa dikatakan Datuk Chong (Kim Fatt), kita memerlukan duit,” tambahnya.-UTUSAN