Saya akan turun sendiri jumpa akar umbi parti - Ahmad Zahid

Saya akan turun sendiri jumpa akar umbi parti – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi hadir pada perjumpaan khas bersama kepimpinan UMNO Bahagian Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi komited untuk menjelajah kesemua 191 bahagian UMNO di seluruh negara biarpun ia akan memakan masa yang lama.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, beliau akan turun ke setiap bahagian biarpun memerlukan jadual dan masa yang ketat.

“Saya komited untuk melakukannya kerana saya tidak mahu terlepas satu bahagian pun untuk saya lawati.

“Saya sudah memutuskan pergi ke semua 191 bahagian UMNO seluruh negara bagi mengupas isu yang berkaitan hal ehwal UMNO termasuk beberapa isu semasa,” katanya ketika ditemui selepas program Perjumpaan Khas Bersama Kepimpinan UMNO Bahagian Putrajaya di sini hari ini.

Katanya, jelajah itu mesti dilakukan olehnya sendiri kerana tugas timbalan, naib presiden dan ahli majlis tertinggi UMNO yang lain untuk turun padang ke peringkat akar umbi sudah pun hampir selesai.

Ahmad Zahid berkata, beliau mahu akar umbi mendengar sendiri penjelasan beliau mengenai pelbagai isu termasuk hala tuju parti UMNO dalam Kerajaan Perpaduan.

“Komunikasi melalui pendekatan tanpa lisan sangat penting, malah lebih penting jika ada ‘personal touch’ dan komunikasi lisan melalui pemimpin utama organisasi.

“Pendekatan ini agak konservatif tetapi saya yakin ia akan memberi kesan yang optimum apabila saya sendiri ke bawah,” katanya.

Katanya, jelajah itu sudah pun dimulakan di Pulai dan Bakri di Johor serta Bentong, Pahang dan Putrajaya menjadi lokasi siri jelajah terbaharunya.

Mengulas mengenai potensi UMNO di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Ahmad Zahid berkata, beliau yakin kerusi itu akan kekal dalam dakapan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai Pengarah PRK selain peranan dimainkan Timbalan dan Naib Presiden UMNO serta negeri angkat sepanjang kempen PRK itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya