Raja Muda Perlis lawat Batu Sempadan - Utusan Malaysia

Raja Muda Perlis lawat Batu Sempadan

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melawat Batu Sempadan bersejarah antara negeri Kedah dan Pulau Pinang yang terletak di Kampung Ekor Kucing, Pinang Tunggal, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang baru-baru ini.- UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat melawat Batu Sempadan bersejarah antara negeri Kedah dan Pulau Pinang di Kampung Ekor Kucing, Pinang Tunggal, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang.

Baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Lestari Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Normaira Abdul Rahmah yang telah mempersembahkan taklimat mengenai sejarah batu sempadan ini.

Batu berkenaan membahagikan kawasan antara Kedah atau Saiburi yang ketika itu di bawah Siam dengan Pulau Pinang yang bernaung di bawah British dan sehingga kini batu ini kekal menjadi sempadan antara Kedah dengan Pulau Pinang.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin ke sana buat julung kalinya itu ialah sempena program kayuhan amal ‘MCCC Ride with HRH The Crown Prince Of Perlis’ anjuran Malaysia-China Chamber of Commerce (MCCC) Kedah dan Perlis dengan kerjasama OSK Property Wilayah Utara yang bermula dan berakhir di Yarra Park Show Village, Bandar Puteri Jaya.

Mengiringi baginda ialah Pengerusi MCCC Kedah dan Perlis, Tan Ah Kiang; Konsul Jeneral Thailand di Pulau Pinang, Raschada Jiwalai; Ketua Pengurusan Cawangan Wilayah Utara OSK Property, Paul Tan Kok Poh; Pengarah Urusan Kumpulan Irama Jaya, Ooi Enn Hee dan Pengerusi Ahli Jawatankuasa Kayuhan MCCC, Regent Wong.

MCCC merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 1990 dengan tujuan untuk menggalakkan kerjasama dan pembangunan dalam perdagangan, pelaburan dan bidang perindustrian antara Malaysia dan China dengan mempunyai cawangan di sembilan buah negeri.

OSK Property pula merupakan gabungan OSK Property Holdings (OSKP) dan PJ Development Holdings (PJD) yang telah membangunkan banyak projek kediaman, perbandaran dan komersial di seluruh Malaysia.

Kayuhan sejauh 35 kilometer itu turut melibatkan persinggahan bagi MCCC menyampaikan sumbangan Jalinan Kasih berupa 25 kampit beras kepada golongan memerlukan di Kampung Serukam, Sungai Petani.

Kayuhan kali ini disertai kira-kira 80 peserta dari Perlis, Kedah dan Pulau Pinang termasuk beberapa peserta dari Jerman dan Belanda yang merentasi sungai-sungai yang cantik, sawah bendang, ladang kelapa sawit, jalan kampung-kampung dan juga pemandangan yang sungguh indah.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya