TAHUN lalu, seluruh dunia menangisi pemergian Rayan Oram, 5, selepas terjatuh dan terperangkap selama lima hari dalam perigi sedalam 32 meter.
Kanak-kanak malang dari Maghribi itu akhirnya ditemukan tidak bernyawa oleh pasukan penyelamat pada 5 Februari 2022.
Tersentuh dengan tragedi berkenaan, mendorong pelajar Sarjana Muda Sastera Kesusasteraan Kontemporari dan Pengurusan Industri Kreatif (BCLCIM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Nurafrina Abd. Aziz, 23, mengabadikan puisi khas buat anak syurga itu.
Karya bertajuk Firdaus Anak Maghribi berjaya diterbitkan dalam majalah milik Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), Tunas Cipta pada tahun lalu.
Tuah berpihak kepadanya apabila puisi itu memenangi Kategori B: Karya Eceran dalam Anugerah Sastera Negeri Pulau Pinang 2023, baru-baru ini.
Kemenangan tersebut membolehkannya membawa pulang wang RM2,000 dan sijil penghargaan.
Menyifatkan dirinya masih hijau dalam kalangan 11 penerima anugerah itu,
Nurafrina bagaimanapun bersyukur dengan pengiktirafan diberikan.
Firdaus Anak Maghribi menceritakan detik-detik cemas dalam operasi menyelamatkan Rayan.
Ujarnya, kewujudan saluran-saluran media menjadi wadah terbaik bagi memperkasakan kemampuan dan kemahiran pelajar dalam bidang penulisan.
Dalam masa sama ia berperanan sebagai batu loncatan untuk bakat-bakat muda menghasilkan karya berkualiti dan mencipta nama.
Nurafrina menyarankan pelajar berjinak-jinak dalam dunia penulisan kerana ia penting dalam
memastikan dunia sastera negara ini terus subur dengan penyertaan generasi muda. – UTUSAN