JOHOR BAHRU: Pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang diminta memilih calon yang mampu membantu meningkatkan kesejahteraan hidup penduduk setempat dan bukan sebaliknya.
Naib Ketua Pemuda UMNO, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, calon Barisan Nasional (BN) adalah merupakan wakil kerajaan perpaduan dan merupakan calon terbaik yang boleh dipilih penduduk.
Sebaliknya, menurut beliau, calon Perikatan Nasional (PN) adalah calon pembangkang yang tidak mempunyai banyak akses kepada agensi-agensi kerajaan dalam usaha membantu rakyat.
“Saya minta agar rakyat di Pelangai buat pilihan dengan betul, khususnya penduduk di kawasan Felda. Kerajaan negeri Pahang sedia ada sudah selari dengan kerajaan Pusat iaitu Kerajaan Perpaduan.
“Jadi, tiada sebab untuk mereka memilih calon pembangkang yang tidak akan dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk setempat. Wakil rakyat pembangkang juga tidak mempunyai banyak peruntukan dan jalinan kerjasama berbanding wakil rakyat kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Kejohanan Memanah Antarabangsa Johor di Taman Mutiara Rini, di sini hari ini.
Yang Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.
Mohd. Hairi yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor turut meminta pengundi DUN Pelangai agar tidak termakan hasutan pembangkang yang menjanjikan pelbagai perkara.
“Mereka tidak boleh buat apa-apa dan jangan risau dengan perkara yang dijanjikan mereka kerana ia tidak boleh terjadi disebabkan PN bukan kerajaan.
PRK DUN Pelangai menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon BN, Datuk Amizar Abu Adam menentang calon PN, Kasim Samat dan calon Bebas, Haslihelmy DM Zulhasli.
PRK tersebut diadakan ekoran kematian penyandangnya daripada BN, Datuk Seri Johari Harun pada 17 Ogos lalu di mana beliau merupakan antara 10 individu terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.
Pada PRU-15 lalu, Johari menang kerusi itu dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon PN, Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).-UTUSAN