Priscilla Chan, tulang belakang Mark Zuckerberg

Priscilla Chan, tulang belakang Mark Zuckerberg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang mengenali hartawan dan pengasas Facebook, Mark Zuckerberg namun isterinya, Priscilla Chan turut mencipta populariti dan kehebatan tersendiri.

Seperti Zuckerberg, Chan juga seorang pelajar di Universiti Harvard dan merupakan lulusan Sarjana Muda Sains dalam bidang Biologi.

Wanita berusia 38 tahun itu dibesarkan di Quincy, Massachusetts, pinggir bandar Boston oleh ibu bapanya yang merupakan pendatang asing berketurunan China dan Vietnam.

Semasa beliau kecil, ibunya terpaksa melakukan dua pekerjaan untuk menampung keluarga dan Chan sering menjadi penterjemah kepada datuk serta neneknya yang tidak boleh berbahasa Inggeris.

Kepintaran Chan diakui sejak sekolah rendah dan pernah dinobatkan sebagai pelajar genius.

Dalam satu temu bual dengan akhbar The New Yorker, beliau mendedahkan pertama kali bertemu Zuckerberg pada 2003 ketika sedang beratur menunggu giliran ke tandas semasa menghadiri pesta yang diadakan oleh rakan suaminya.

Bibit cinta terus berputik dan selepas Chan berjaya menamatkan pengajian pada 2007, pasangan itu berpindah ke Palo Alto, California.

Chan menjadi tulang belakang kepada kejayaan Zuckerberg, malah beliau merupakan antara individu terawal yang menyertai Facebook ketika laman media sosial itu pertama kali dilancarkan pada 5 Februari 2004.

Chan kemudian melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di University of California, San Francisco dengan pengkhususan bahagian pediatrik.

Zuckerberg dan Chan berkahwin pada 19 Mei 2012, sehari selepas Facebook disenaraikan di Bursa Saham New York dengan nilai berjumlah AS$104 bilion (RM490 bilion).

Pasangan itu dikurniakan tiga cahaya mata perempuan dan memulakan organisasi amal bersama pada 2015, dengan Chan dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif.

Kebanyakan masanya dihabiskan menjaga anak-anak selain melaksanakan pelbagai kempen berteraskan pendidikan dan sains menerusi Inisiatif Chan Zuckerberg (CZI), sebuah organisasi bukan keuntungan yang dibiayai syarikat Meta milik Zuckerberg.

Nilai bersih kekayaan Chan tahun ini dianggarkan berjumlah AS$50 bilion (RM235 bilion).

Nama Chan mendapat perhatian media di seluruh dunia Khamis lalu ketika hadir merasmikan pusat penyelidikan bioperubatan kedua milik CZI, Chan Zuckerberg Biohub yang turut dinamakan sempena nama beliau di Chicago.

Menurut beliau, sebagai tambahan kepada pembiayaan awal daripada kerajaan negeri, pusat itu akan menerima AS$250 juta (RM1.18 bilion) daripada CZI selama 10 tahun untuk membiayai penyelidikan mengenai keradangan, jangkitan serta tindak balas semulajadi badan manusia terhadap kerengsaan dan penyakit.

“Apabila saya dan suami mengasaskan CZI, kami tahu terdapat jurang besar dalam pengetahuan saintifik tentang perkara asas dan apa yang sebenarnya menyebabkan manusia jatuh sakit.

“Justeru, menerusi inisiatif ini, para saintis di makmal dapat mengkaji dan mempelajari punca asas keradangan dalam tubuh manusia.

“Penyelidik di hab ini juga akan mengkaji tisu manusia untuk lebih memahami dan merawat penyakit radang kronik termasuk kanser, jantung, buah pinggang, sklerosis, strok dan diabetes,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya