Pengalaman silam bantu ‘merdekakan’ wanita

Pengalaman silam bantu ‘merdekakan’ wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIPUKUL lebih 10 kali hingga bahagian mukanya cedera parah dan perlu menjalani pembedahan.

Demikian antara keperitan terbesar yang terpaksa ditanggung Nor Fadilah Mohamed Nizar, 41, selepas sehari bercerai dengan bekas suaminya pada 2013.

Selama tiga tahun wanita ini turun naik mahkamah demi memperjuangkan hak dan menuntut keadilan.

Pada 2016, pesalah akhirnya dijatuhi hukuman penjara.

Pengalaman silam sebagai mangsa keganasan rumah tangga mendorong wanita ini mengasaskan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Johor Empowerment of Intellectual Women Association (Jeiwa).

Misinya adalah untuk membantu pelbagai lapisan wanita memulakan kehidupan baharu sekali gus memperkasakan golongan itu.

Usaha dan pengorbanannya berbaloi apabila ribuan kaum hawa dibela serta menerima manfaat daripada program-program yang dijalankan.

Menyelami karakter wanita kelahiran Kuching, Sarawak yang membesar di Johor Bahru ini, jelas tergambar semangat srikandi yang kuat dalam jiwa dan sanubarinya.

Menurut Nor Fadilah, mana-mana wanita boleh keluar daripada belenggu air mata dan penderitaan, jika mereka nekad mahu mengubah kehidupan ke arah lebih baik dan bahagia.

Formulanya cukup mudah iaitu dengan move out dan move on.

“Pindah keluar daripada persekitaran toksik dan jangan kenang apa-apa tentang bekas suami kerana itu hanyalah fantasi.

“Saya pernah berdepan dengan situasi tersebut tetapi saya mungkin bertuah sedikit kerana ada kerjaya yang baik di samping keluarga yang menyokong.

“Paling mustahak, kena minta petunjuk daripada Allah SWT dan selalu buat self reflection, sampai jumpa jawapan sebenar yang tiada guna lagi perkahwinan itu dipertahankan. Mungkin anak-anak pun dapat membesar lebih sempurna tanpa melihat ibu mereka diseksa berkali-kali di depan mata,” kongsinya ketika ditemui Seri di Galeri Jeiwa baru-baru ini.

Wanita ‘dibuli’ di mahkamah
Pernah terfikir kenapa mangsa keganasan rumah tangga tiba-tiba menarik balik kes pendakwaan terhadap suami mereka di mahkamah?

Sekalipun kes itu diteruskan, namun keputusan akhir lazimnya tidak menyebelahi mereka.

Nor Fadilah mendedahkan, ramai kaum hawa ‘dibuli’ peguambela hingga mereka malu, takut dan tertekan di mahkamah.

“Kebanyakan mangsa keganasan rumah tangga tidak stabil emosi dan pengakuan mereka mungkin berubah-ubah apabila disoal berulang kali oleh peguambela.

“Sebab itu saya minta wanita buat persiapan lengkap bukan sahaja dari segi mental mereka, malah keyakinan diri, penampilan dan cekap dalam selok-belok pengurusan dokumen

“Jangan melalak di mahkamah kerana fasa breakdown itu sudah lama berlalu, sebaliknya datang dengan keberanian, pakai lawa-lawa dan yang paling penting konsisten dengan pendirian,” katanya.

Nor Fadilah berkata, pengalaman sebagai bekas pegawai tadbir diplomatik (PTD) memudahkannya berkomunikasi spontan apabila berada di mahkamah di samping mahir menguruskan dokumen sepanjang kesnya berlangsung.

Sayangi diri, jaga standard
Wanita mungkin terlupa, individu paling utama yang perlu disayangi adalah diri sendiri sebelum keluarga dan insan lain.

Berpegang kepada prinsip itu, Nor Fadilah menyeru kaum hawa untuk tidak mengkhianati diri dan menyeksa jiwa raga dengan menjadi beg tinju suami atau alat melepaskan kemarahan.

Selain itu, katanya, wanita juga perlu menjaga standard dan reputasi mereka kerana kedua-dua nilai tersebut penting apabila ditimpa kesusahan di masa depan.

“Semasa bercerai dahulu, saya keluar rumah sehelai sepinggang dan tiada tempat tinggal kerana keluarga di Johor manakala saya bertugas di Putrajaya.

“Tetapi dengan bantuan kawan-kawan dapatlah saya menetap sementara di kuarters kerajaan. Bayangkan jika saya tiada reputasi atau personaliti yang baik, pasti kawan-kawan enggan membantu di saat saya memerlukan dan mungkin terpaksa tidur di dalam kereta,” katanya yang kini sudah berkahwin semula.

Ibu kepada tiga anak ini berkata, tidak mengapa bermula semula dari bawah tetapi mulakanlah perjalanan itu dengan lebih baik.

Misi Jeiwa
Jeiwa yang ditubuhkan pada 22 Oktober 2015 bukan hanya untuk memperkasakan ibu tunggal, sebaliknya menjadi platform buat wanita menabur bakti, berkongsi pengalaman dan mentransformasi diri kepada individu baharu.

Katanya, antara elemen yang dititik beratkan ialah pemikiran positif, keyakinan dan potensi diri.

“Pendekatan Jeiwa termasuk menghantar wanita ke bengkel penggayaan di butik berjenama mewah, Christian Dior untuk mereka menilai kembali diri dan membuat langkah baru.

“Selain itu, Jeiwa juga sudah melebarkan sayap ke luar negara apabila produk kita iaitu mangkuk tingkat yang dilukis tangan kini digunakan di hotel-hotel di Dubai,” katanya.

Menurut Nor Fadilah, sehingga kini hampir 1,000 mangkuk tingkat telah dikeluarkan hasil karya 60 pelukis termasuk orang kurang upaya (OKU).

Malah, baru-baru ini beliau turut diberi peluang untuk mengadakan pameran Sehati Sejiwa sempena sambutan Hari Kebangsaan di pusat beli-belah Intermark.

Ihsan mula dari rumah
Sejak kecil Nor Fadilah dididik bapanya untuk sentiasa membantu golongan yang memerlukan dan dihimpit kesusahan.

Buktinya, seawal lapan tahun, beliau sudah mengetuai aktiviti mengutip derma di sekolah untuk diagihkan kepada mangsa buli, anak yatim dan asnaf.

“Macam-macam cara dilakukan termasuk membuat persembahan, kutipan tabung Milo ke kelas-kelas dan akhir sekali adalah sumbangan daripada ayah saya.

“Ayah selalu berpesan untuk sentiasa menjadi orang yang baik dan mendokong semua nilai-nilai baik dalam keluarga.

“Walaupun dibesarkan dalam keluarga senang tetapi ayah mengajar saya erti berkongsi rezeki dengan orang lain,” katanya.

‘Syurga’ tetamu tidak dikenali
Antara kebaikan yang ditunjukkan bapanya termasuk sanggup menumpangkan individu tidak dikenali seperti musafir, asnaf dan OKU di kediaman mereka.

“Sejak kecil, rumah kami tidak sunyi dengan tetamu-tetamu itu yang dianggap sebagai keluarga.

“Saya masih meneruskan amalan ayah dan salah seorang pelukis OKU tinggal bersama saya,” katanya.

Buka resort kesihatan mental wanita
Kajian mendapati lebih ramai wanita yang mengalami sindrom keresahan atau anxiety berbanding lelaki.

Bimbang dengan situasi yang makin meruncing itu mendorong Nor Fadilah merancang membuka resort kesihatan mental khas untuk kaum hawa.

Inisiatif jangka panjang tersebut secara tidak langsung dapat mengukuhkan lagi kedudukan Jeiwa dalam memperkasakan wanita untuk memulakan kehidupan baharu.

Katanya, kemudahan yang bakal beroperasi di Batang Kali, Selangor itu dijangka siap tiga tahun lagi dan ketika ini kerja-kerja tanah sedang giat dilakukan.

“Resort ini menjurus kepada terapi kesihatan minda dan antara fasiliti yang ada ialah air panas serta spa.

“Selain itu, untuk rancangan jangka pendek pula, Jeiwa mahu mengeluarkan cenderamata pelancongan yang dilukis tangan bertemakan mangkuk tingkat seperti beg kanvas, baju T, magnet peti sejuk,” katanya.

Produk itu akan dihasilkan pelukis yang bernaung di bawah Jeiwa antaranya ialah remaja OKU, Nur Amiratul Farahin Ab. Rahman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya