KUALA LUMPUR: Masih belum ada pemain tempatan yang mampu menggugat kedudukan Natasha Andrea Oon sebagai pemain terbaik Malaysia selepas dia melengkapkan aksinya di kedudukan ke-52 keseluruhan pada Kejohanan Golf Maybank LPGA di Kuala Lumpur Golf & Country Club dekat sini, hari ini.
Bagaimanapun, pemain berusia 22 tahun itu mengalami kejatuhan 15 anak tangga berbanding kedudukannya, semalam, di tempat ke-37.
Kejohanan yang telahpun memasuki hari ketiga menyaksikan Natasha kini mencatat dua di bawah par 214 pukulan keseluruhan.
Untuk persembahannya, hari ini, pemain yang dilahirkan di Jakarta, Indonesia itu mencipta satu di atas par 73 pukulan, keputusan yang sedikit merosot berbanding, semalam apabila melakar dua birdie, satu bogey dan satu double bogey.
Natasha yang berkongsi kedudukan ke-52 bersama lima lagi pemain lain berkata, seperti ada yang tidak kena sewaktu dia memula aksinya, hari ini.
“Apa yang saya lakukan serba tidak menjadi, pukulan saya tidak menepati sasaran, saya cuba bertahan dalam permainan, tetapi saya agak gementar lebih-lebih dengan kehadiran penonton yang ramai,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Bagaimanapun, Natasha menjelaskan, mujur dia mampu bangkit selepas melakukan double bogey pada awal saingan.
“Keputusan terburuk telahpun terjadi, jadi, saya tak takut apa-apa, bermain seperti biasa dan akhirnya mendapat dua birdie,” ujarnya.
Berada di belakang Natasha ialah pemain remaja negara berusia 18 tahun, Jeneath Wong yang berada di tempat ke-58 setelah melakukan 215 pukulan satu di bawah par.
Untuk aksinya pada pusingan ketiga, Jeneath yang berpangkalan di Australia, mencipta 72 pukulan bersamaan dengan par.
Tempat ketiga terbaik dalam kalangan pemain Malaysia menjadi milik, Ashley Lau apabila dia menamatkan saingan di kedudukan ke-63 dan melakar 216 pukulan bersamaan dengan par.
Tiga lagi wakil negara, Kelly Tan, Ng Jing Xuen (tujuh di atas par 223 pukulan) dan Alya Abdulghany masing-masing berada di tangga ke-74 (lima di atas par 221 pukulan), ke-73 serta ke-75 (10 di atas par 226 pukulan). – UTUSAN ONLINE