ZAMAN sekarang, bagaikan lumrah wanita bergelar isteri turut bekerja mencari rezeki bagi membantu suami.
Dengan kos hidup yang serba mencabar di samping dugaan kewangan daripada segi keperluan dan kemahuan.
Di sebalik sokongan padu diberikan isteri, wujud segelintir suami yang mengambil mudah dan mengabaikan soal nafkah suri hati mereka.
Pada si suami, tiada keperluan untuk memberikan perbelanjaan kerana isteri sudah memiliki pendapatan sendiri.
Kaunselor perkahwinan dan keluarga, Hushim Salleh berkata, nafkah isteri adalah wajib dan jika suami culas, hukumnya berdosa.
Katanya, isu itu sudah bertahun-tahun diperkatakan dan tiba masanya mekanisme baharu diperkenalkan termasuk sistem potongan gaji suami.
Alternatif tersebut mungkin dapat memastikan suami benar-benar melunaskan tanggungjawab dengan konsisten dan tepat pada setiap bulan.
Seperti firman Allah SWT bermaksud: Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan, oleh kerana Allah telah melebihkan orang-orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) atas orang-orang perempuan dan juga kerana orang-orang lelaki telah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian daripada harta mereka. (An-Nisa’:34).
Biarpun pasti ada suami menentang idea itu, tetapi Hushim berkata, ia memberikan lebih banyak kebaikan.
Antaranya proses pengurusan kewangan keluarga akan jadi tersusun dan teratur, malah memberi lebih jaminan kepada isteri.
“Sudah pasti tiada lagi isu-isu berbangkit berkaitan duit dan pengabaian tanggungjawab timbul. Sekali gus ia membantu mengekalkan keharmonian hidup berumahtangga.
“Pokok pangkalnya, adalah kedua-dua pihak perlu bermusyawarah bagi mewujudkan situasi menang-menang dalam isu nafkah potongan gaji itu,” katanya kepada Seri.
CERAI KERANA ABAI NAFKAH
Punca utama perceraian dalam kalangan pasangan suami isteri di Malaysia kini bukan lagi kerana orang ketiga atau penyondol.
Sebaliknya, keruntuhan institusi rumahtangga didakwa berpunca akibat masalah kewangan terutama sikap culas dan liat suami dalam menunaikan tanggungjawab.
Situasi itu dikesan berleluasa sejak 10 tahun kebelakangan ini dan makin meruncing selepas pandemik Covid-19 lalu.
Tegas Hushim, hampir 80 peratus isteri mendedahkan tidak menerima nafkah daripada suami sepanjang melayari bahtera perkahwinan.
“Isteri meletup kerana terlalu lama menanggung derita dan rasa terabai berikutan hak kewangan dinafikan.
“Faktor-faktor ini sedikit sebanyak mengganggu emosi dan mental wanita, sampaikan ada yang mengungkit isu nafkah, malah menyesal berkahwin kerana semua perbelanjaan terpaksa ditanggung sendiri,” katanya.
SUAMI JANGAN BERI ALASAN
Kebanyakan suami gemar memberi alasan semata-mata untuk menghalalkan tindakan
mereka mengabaikan nafkah isteri.
“Walaupun isteri bekerjaya, berjawatan lebih tinggi dan bergaji besar, namun nafkah masih perlu
diberikan secara konsisten.
“Jangan buat anggapan sendiri kononnya isteri tidak perlukan nafkah kerana memiliki pendapatan tetap.
“Yang penting beri dahulu kerana elemen ‘akad’ diperlukan dalam perkara ini. Kemudian, terpulang kepada ihsan isteri sama ada mahu memulangkan kembali duit nafkah itu atau sebaliknya.
“Agaknya suami ini tidak takut akibat yang akan ditanggung di padang Mahsyar
kelak jika berterusan ingkar tanggungjawab pada isteri,” katanya.
SUAMI TIDAK BOLEH LARI, ISTERI TIDAK SUSAH HATI
Pelaksanaan sistem nafkah potongan cukai dapat mendidik suami untuk tidak lari daripada tanggungjawab.
Itu pandangan dilontarkan pakar motivasi dan kaunseling keluarga, Dr. Robiah K Hamzah.
Katanya, pada masa sama, isteri juga tidak perlu lagi susah hati digantung tidak bertali manakala anak-anak tidak akan terabai daripada segi perbelanjaan diperlukan.
Lebih daripada itu, katanya, setiap butiran kewangan suami juga lebih telus termasuk sekiranya mempunyai isteri kedua yang dikahwini secara sorok-sorok.
“Begitupun, pastikan pelaksanaan sistem itu kemas agar suami isteri tidak bergaduh. Kalau patut bagi RM1,000, maka potonglah RM1,000.
“Selain itu, isteri juga akan mengetahui perbelanjaan sebenar pasangan termasuk kepada madunya sekali gus memupuk suami bersikap adil dalam pengurusan kewangan,” katanya.
Tambahan pula kini banyak keluarga yang huru-hara dalam isu pengurusan duit dan kewangan hingga timbul isu-isu berbangkit.
“Pasangan yang harmoni adalah mereka yang bertanggungjawab kepada keluarga. Memang benar, duit adalah antara isu besar dalam rumah tangga yang boleh mengundang perceraian,” katanya.
BUAT BAJET, KIRA-KIRA
Robiah menyarankan pasangan suami isteri untuk membuat bajet keseluruhan perbelanjaan mereka sejak dari awal perkahwinan sehingga memiliki anak.
Langkah itu akan melancarkan pengurusan kewangan keluarga agar masing-masing tahu tanggungjawab bersama.
“Cara terbaik adalah berunding dengan pasangan dan jika tidak mencukupi, buatlah kerja sampingan.
“Jika isteri berdiam, lama-lama diri sendiri yang sakit kerana nafkah terabai. Kalau cakap pun mungkin suami tidak endahkan pula dan akhirnya hubungan jadi tidak serasi,” katanya.
Mengenai jumlah nafkah yang sesuai untuk para isteri di masa kini, katanya perkara itu adalah
subjektif bergantung kepada pendapatan dan gaya hidup individu. –UTUSAN