LONDON: Penyerang Liverpool dan Mesir, Mohamed Salah menggesa “pemimpin dunia bersama-sama mencegah penyembelihan jiwa yang tidak bersalah” di tengah-tengah konflik Israel-Gaza.
Ini sebagai reaksi kepada ratusan orang terbunuh akibat letupan di sebuah hospital yang sesak di Bandar Gaza pada malam Selasa.
Salah, 31, berkata bantuan kemanusiaan ke Gaza mesti dibenarkan segera.
“Terdapat terlalu banyak keganasan, kesedihan dan kekejaman,” katanya.
Pegawai Palestin berkata letupan di Hospital Al-Ahli Arab berpunca daripada serangan udara Israel.
Israel telah mengebom Gaza tanpa henti sebagai tindak balas kepada serangan yang dilakukan oleh Hamas pada 7 Oktober yang membunuh 1,400 orang.
Lebih 3,000 orang telah dilaporkan terbunuh oleh serangan ke atas Gaza.
Salah menyifatkan adegan dari hospital itu sebagai mengerikan.
“Rakyat Gaza memerlukan makanan, air dan bekalan perubatan dengan segera,” kata Salah dalam video yang disiarkan di X.
“Semua nyawa adalah suci dan mesti dilindungi. Pembunuhan beramai-ramai perlu dihentikan. Keluarga sedang berpecah belah.
“Saya menyeru para pemimpin dunia untuk bersama-sama mencegah penyembelihan jiwa yang tidak bersalah.
“Kemanusiaan mesti diutamakan.”
Persekutuan bola sepak Algeria berkata pada hari Rabu bahawa ia menangguhkan semua pertandingan dan perlawanan bola sepak “sebagai solidariti dengan rakyat Palestin”.
Badan induk itu sebelum ini bersetuju untuk menganjurkan perlawanan bola sepak pasukan kebangsaan Palestin yang akan datang berikutan permintaan daripada FA Palestin. – BBC