Kanak-kanak jatuh sungai cuba selamatkan adik ditemukan lemas

Kanak-kanak jatuh sungai cuba selamatkan adik ditemukan lemas

ANGGOTA bomba mengusung mayat seorang kanak-kanak yang lemas selepas jatuh ke dalam sungai ketika cuba menyelamatkan adiknya berhampiran Kampung Lingkudau, Keningau pagi tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KENINGAU: Mayat kanak-kanak perempuan yang terjatuh semasa cuba menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam Sungai Pegalan berhampiran Kampung Lingkudau ditemukan pagi tadi.

Mayat mangsa berusia 12 tahun itu ditemukan pada jarak 1.7 kilometer dari lokasi kejadian pada pukul 11.36 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Sharudy Delamin berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa yang berusia sembilan tahun masih diteruskan.

Berdasarkan maklumat, mangsa cuba menyelamatkan adik perempuannya yang terjatuh dalam sungai berkenaan. Cubaan itu tidak berjaya dan menyebabkan mangsa turut terjatuh bersama-sama adiknya ke dalam sungai berkenaan.

“Kedua-dua mangsa dipercayai bermain di tebing sungai pada pukul 5 petang, sebelum salah seorang daripada mereka terjatuh ke dalam sungai. Kakak kepada mangsa kemudian cuba menyelamatkan adiknya tapi tidak berjaya dan kedua-dua mangsa dilaporkan hilang.

“Rakan kepada mangsa yang turut berada di lokasi kejadian kemudian memaklumkan kejadian itu kepada penduduk kampung,” katanya.

Sharudy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 5.07 petang semalam dan sepasukan pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Sebaik tiba di lokasi, mereka dimaklumkan terdapat dua kanak-kanak hilang dan dikhuatiri lemas. Maka, operasi SAR dimulakan bagi mencari kedua-dua mangsa dan operasi ditangguh pada pukul 7.50 malam.

Operasi hari kedua dimulakan pada pukul 6.34 pagi tadi dengan menggunakan sebuah bot dengan teknik menyusuri tebing sungai. Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) turut menjalankan operasi pencarian dengan membuat selaman di sekitar kawasan mangsa dilaporkan tenggelam.

Jelas beliau, mangsa pertama telah ditemukan dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya