KUALA NERUS : Pakar taksonomi dan biodiversiti tempatan Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad akan dianugerahkan ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM) dalam Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) ke-21 pada 22 hingga 24 Oktober ini.
Menurut kenyataan Komunikasi Korporat UMT yang dikeluarkan hari ini Datuk Seri Dr. Michael Tio bakal dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Fakulti Pengajian Maritim (FPM).
Kata kenyataan itu lagi, seramai 2,393 graduan bakal diraikan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang dalam Majlis konvokesyen berkenaan.
Kata kenyataan itu , mereka yang diraikan terdiri daripada 196 graduan pasca siswazah terdiri daripada 46 graduan doktor falsafah dan 150 graduan sarjan , manakala seramai 2,192 graduan prasiswazah yang terdiri daripada 2,081 graduan sarjana muda dan selebihnya 111 graduan diploma.
Katanya, turut diraikan dalam majlis ini penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro Canselor, Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Anugerah Naib Canselor (Terbaik Pusat Pengajian),Anugerah Khas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Anugerah Graduan Terbaik Diploma. Anugerah Khas PTPTN dan Anugerah Graduan Terbaik Diploma merupakan anugerah yang julung kali diperkenalkan dalam Majlis Konvokesyen UMT.
Penganugerahan Ijazah Kehormatan Doktor Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti kepada Profesor Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff Mohamad bertepatan dengan kepakaran beliau yang juga perintis dalam penyelidikan taksonomi tumbuhan tinggi dan biologi pemuliharaan.
“Penyelidikan beliau mengenai flora, taksonomi tumbuhan dan kepelbagaian biologi Malaysia selama hampir 40 tahun telah membawa kepada kemajuan pengetahuan yang merangkumi pemahaman sains taksonomi dan biologi pemuliharaan serta kepentingan, nilai dan faedah pemuliharaan alam sekitar di negara ini, “ ujarnya..
Malah beliau telah mengetuai pelbagai projek mengenai taksonomi tumbuhan, etnografi dan fitokimia produk semula jadi.
Mengulas mengenai penganugerahan tersebut, Abdul Latif berkata, sepanjang dua dekad yang lepas, UMT telah meletakkan keutamaan dan nic pendidikan dan penyelidikan dalam bidang sains samudera dan oseanografi.
Ini menurutnya, bertepatan dengan kedudukanya di Pantai Timur berdepan dengan Laut China Selatan dan dalam Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Di samping itu Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) akan melintasi sepanjang Negeri Terengganu.
Wawasan tersebut kata beliau hasil buah fikiran bekas naib canselor dan profesornya yang bertindak sebagai kepimpinan akademik dan ilmu pengetahuan dan disokong oleh Pengerusi dan ahli Lembaga Pengurusan Universiti (LPU).
“Pada hemat saya UMT berada pada landasan yang penting dalam pembangunan sosioekonomi Pantai Timur dan negara,” ujarnya.
Beliau turut menyarankan supaya UMT meningkatkan penyelidikannya dalam arkeologi khazanah lautan memandangkan banyak kapal laut dan pelayaran telah tenggelam di pesisiran Pantai Timur.
Di samping itu kata beliau, UMT juga harus menyebar sayap akademiknya kepada ekosistem sungai dan tasik asli dan buatan yang ada di Pantai Timur
Dalam pada itu, Michael yang mempunyai kepakaran dalam Pengurusan Logistik. merupakan Ketua Eksekutif Kumpulan dan Pengarah Urusan PKT Logistics Group Sdn. Bhd., syarikat penyedia perkhidmatan logistik terkemuka di negara ini Malaysia dan menyumbangkan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Katanya, antara usaha tanggungjawab sosial korporat yang dilaksanakan PKT Logistik Sdn. Bhd., telah menubuhkan Yayasan PKT yang menawarkan biasiswa dan dermasiswa kepada pelajar Malaysia yang berpencapaian tinggi sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam membangunkan modal insan masa depan negara.
Setiap tahun, PKT Logistics Sdn. Bhd. telah memperuntukkan RM1 juta kepada Yayasan PKT dan telah menganugerahkan RM2.4 juta biasiswa kepada lebih 400 orang pelajar dalam menyokong pendidikan tinggi mereka di dalam dan luar negara.
Dalam memainkan peranan industri ke arah pemerkasaan pendidikan, beliau melalui PKT Logistics Sdn. Bhd. juga telah menjalin kerjasama dengan pelbagai institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di dalam serta di luar negara termasuklah UMT.
Konvokesyen kali ini turut dimeriahkan dengan aktiviti gerai konvo yang dipenuhi dengan acara-acara menarik seperti Sukan Rakyat Terbuka (Pelajar / Komuniti), Demonstrasi Ikatan Tanjak dan Sampin, Solo Tari Kreatif Rakyat Malaysia, Sepetang Bersama DBP, Malam Nur Kasih : Bicara Rohani & Persembahan Re – Unic, Dimensi Anak Muda: Hala Tuju Selepas Graduasi, Malam Sulur Cendana dan banyak lagi acara-acara menarik yang telah diaturkan.
Komuniti setempat dan orang ramai dijemput sama-sama memeriahkan acara yang akan diadakan di Tapak Pesta Konvo UMT bermula 21 hingga 24 Oktober ini.-UTUSAN