Konflik Palestin: Hubungan Malaysia, Singapura tak terjejas

Konflik Palestin: Hubungan Malaysia, Singapura tak terjejas

ANWAR Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Lee Hsien Loong ketika Sesi Permukiman Pemimpin-Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-10 di Singapura, hari ini. -PMO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perbezaan pendirian antara Malaysia dan Singapura berhubung konflik Israel – Palestin tidak menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, kata Perdana Menteri, kedua-dua negara menyokong resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) terhadap gencatan senjata.

“Apa yang penting dalam hubungan kedua-dua negara adalah persefahaman bersama iaitu Malaysia dan Singapura menyokong resolusi gencatan senjata. Gencatan senjata dan bantuan kemanusiaan ketika ini adalah sangat kritikal.

“Tetapi apa yang kritikal pada masa ini adalah keamanan. Berhenti membunuh orang awam, bayi dan wanita,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong, hari ini.

Anwar berkata, gencatan senjata itu turut disokong oleh majoriti negara di dunia.

“Kami (Malaysia) sudah tentu mengambil pendirian lebih tegas, isunya bukan apa yang berlaku dua minggu lalu tetapi apa yang disebutkan sebagai pengusiran politik (dispossession politic). Negara itu (Israel) tidak boleh menjajah tanah Palestin,’’ katanya.

Anwar dan Hsien Loong sebelum itu diajukan soalan sama ada pendirian berbeza Malaysia dan Singapura terhadap konflik di Semenanjung Gaza akan menjejaskan hubungan baik kedua-dua negara atau tidak.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sentimen Malaysia dalam isu membabitkan Palestin sangat kuat bahkan beliau telah menghubungi ramai pemimpin negara Arab untuk menyatakan pendirian Malaysia.

“Saya juga telah menghubungi ramai pemimpin negara Arab dan menyatakan pendirian kami dan menyokong resolusi keamanan dan segera menamatkan konflik, tetapi bantuan kemanusiaan adalah keutamaan (ketika ini),” katanya.

Sementara itu, Hsien Loong berkata, pendirian Malaysia dalam isu Palestin tidak akan menjejaskan hubungan erat dua hala antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua negara telah menyuarakan pendirian masing-masing apa yang berlaku di timur tengah, Singapura sendiri sudah berulang kali menyatakan pendirian dan mengutuk apa yang berlaku (terhadap) keganasan, tragedi kemanusiaan ke atas orang awam yang menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai.

“Kami berharap kedua-dua pihak (Israel – Palestin) dapat mencapai kemajuan ke arah rundingan ‘two state solution’ (pembentukan dua negara) di timur tengah,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia dan Singapura masing-masing sudah pun menjelaskan pendirian dalam isu tersebut namun situasi kedua-dua negara amat berbeza.

“Situasi mereka tidak sama seperti kami (Singapura) kerana mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel dan pada masa sama ada hubungan persahabatan dengan pihak berkuasa Palestin.

“Walaupun hubungan diplomatik tidak sama namun tiada sebab ia akan menyebabkan kesukaran hubungan antara Malaysia dan Singapura,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya