SEGAMAT: Pengusaha makanan Karkun Pizza kayu api, di sini mempergiatkan usaha untuk memperolehi Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) selewat-lewatnya pada suku pertama tahun depan.
Menurut pemiliknya, Muhammad Ridhwan Ahmad Sah, 38, usaha itu menjadi visi utama syarikatnya, ZR Barakah Enterprise bagi menjadikan jenama Karkun Pizza sebagai peneraju produk makanan dan minuman berstatus halal dan toyyiban.
“Karkun Pizza bermula pada 2017 dan telah melalui pelbagai cabaran serta rintangan asam garam perniagaan seperti kekurangan pekerja.
“Tambahan lagi, pada 2020 kita dilanda wabak Covid-19, menjadikan beberapa perancangan terpaksa ditangguhkan dan kami bertatih semula dari bawah.
“Cabaran dalam mendapatkan pengakuan sijil halal sebelum ini mencecah sembilan bulan ke dua tahun, menyulitkan lagi kami untuk mendapat pengiktifaran tersebut.
“Insya-Allah kita sedang berusaha untuk mendapatkan sijil halal ini menjelang suku tahun pertama tahun 2024,” katanya kepada Utusan Malaysia di Bandar Putra, IOI, di sini.
Karkun adalah daripada bahasa Urdu yang biasa dikaitkan dengan usaha dakwah tabligh, bermaksud pekerja agama.
Pengusaha Karkun Pizza itu turut pernah bergiat dalam usaha dakwah tabligh dan menggunakan nama tersebut sebagai nama kedai.
Ridhwan berkata, Karkun Pizza yang menggunakan slogan, ‘Bukan sekadar pizza’ ini mengetengahkan makanan berasaskan ala barat dan Asia itu turut merancang untuk menebusi pasaran seluruh negeri Johor menjelang penghujung tahun 2025.
Antara menu yang disediakan di Karkun Pizza adalah piza yang dibakar menggunakan kayu api, spageti bolognese, spageti carbonara, nasi goreng, mi wantan dan tidak ketinggalan pelbagai jenis pastri donut serta roti pelbagai perisa.
“Keunikan Karkun Pizza adalah piza yang kami sediakan menggunakan kayu api lain dari yang lain dan ini adalah yang pertama di Segamat.
“Bukan sahaja menjual makanan, malah ZR Barakah Enterprise turut ingin membuka peluang perniagaan kepada rakyat Johor yang berminat menceburi perniagaan restoran, trak makanan dan gerai.
“Alhamdulillah, setakat ini kami mempunyai lima orang pekerja dan perancangan untuk memperluaskan dan memberi lebih banyak peluang untuk anak-anak muda menceburkan diri dalam bidang makanan dan minuman halal.
“Sijil halal penting kerana halal dan toyyib itu adalah satu elemen penting bagi umat Islam dan kepercayaan bukan sahaja untuk orang Islam tetapi orang ramai untuk lebih yakin dengan produk keluaran kita,” kongsinya.
Sementara itu, proses dan prosedur kelulusan permohonan bagi mendapatkan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) akan dipendekkan kepada tempoh 23 hari bekerja berbanding sekurang-kurangnya sembilan bulan ke dua tahun berdasarkan amalan sebelum ini.
Perkembangan terbaru tersebut dicapai pada mesyuarat Majlis Pembangunan Halal yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada 3 Oktober lalu. – UTUSAN