Kanak-kanak perempuan lemas tergelincir di kolam memancing ikan

Kanak-kanak perempuan lemas tergelincir di kolam memancing ikan

MOHD. Rofi Ibrahim menunjukkan gambar anaknya, Nur Rania Faizah  yang lemas di kolam memancing ikan di Bukit Besi, Dungun, petang semalam. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUNGUN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun ditemukan lemas selepas dipercayai tergelincir di sebuah kolam memancing ikan di Bukit Besi, di sini, petang semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang, Nur Rania Faizah Mohd. Rafi, 2, ditemukan tidak sedarkan diri oleh penjaga kolam tersebut sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Dungun, di sini, kira-kira pukul 8 malam tadi. 

Bapanya, Mohd. Rafi Ibrahim, 39, dari Kampung Landas, Ajil, dekat ini, berkata, ketika kejadian dia sedang memancing ikan, sementara isterinya, Fatinhanani Ali, 31, sedang menyusu bayi lelakinya, Muhammad Irfan, yang berusia dua bulan di lokasi berbeza. 

“Pada awalnya, anak perempuan saya bermain-main bersama abangnya, Muhammad Alim Solihin yang berusia lima tahun, tak jauh dari kolam saya memancing. 

“Namun selang lima minit kemudian saya tengok anak lelaki saya hanya bermain seorang diri tanpa adiknya. Saya kemudiannya bergegas mencari Rania dan turut memberitahu penjaga kolam untuk mencari anak saya,” katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Dungun, di sini, hari ini. 

Bapa kepada lima anak itu berkata, selang 15 minit kemudian, penjaga kolam terjun mendapatkan anaknya selepas terlihat pakaian anaknya yang berwarna merah di kolam lain, tidak jauh dari tempat dia memancing. 

“Bila dibawa ke darat, saya cuba menekan dadanya dan memberi bantuan pernafasan, namun keadaannya longlai dan hanya air yang keluar dari mulut. 

“Kemudiannya, saya bawa anak ke Klinik Kesihatan Bukit Besi sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun,” katanya. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Pemangku Superintenden Maizura Abdul Kadir mengesahkan kejadian tersebut dan turut menasihatkan ibu bapa supaya tidak leka dan sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak bagi mengelak kejadian berulang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya