UTUSAN Malaysia mendedahkan setiap hari kira-kira 80 pasangan dari Malaysia melangsungkan perkahwinan di Thailand dengan anggaran 2,400 permohonan sebulan.
Konsulat Malaysia di Songkhla, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi mendedahkan ‘pilihan’ itu berlaku khusus dalam kalangan lelaki yang mahu menyembunyikan perkahwinan daripada pengetahuan isteri pertama. Narathiwat, Yala, dan Pattani antara lokasi yang menyaksikan penyatuan dua hati yang sedang berkasih itu.
Angka itu memang besar dan ‘menguntungkan’. Maka tak hiaranlah ada banyak pakej kahwin sempadan ditawarkan.
Taip saja di enjin carian akan tertera pakejnya, tinggal klik je. Antaranya Kahwin Di Sempadan Thailand – 100% Sah & Diiktiraf JAKIM. Betul, sah atau tidak, sila semak sendiri sebab yang lebih menarik perhatian saya ialah mengenai pemilihan lokasi yang jauh-jauh tu, sedangkan dalam negara pun boleh buat kenduri dan makan nasi minyakkan?
Leceh kot sebab kena ikut prosedur tertentu macam buat permohonan itu, ini dan isi borang kebenaran kahwin?.
Tetapi sesuailah dengan namanya nak bina masjid dan menyunting si dia jadi suri hidup. Yang susah payah itulah manisnya dan seronok untuk dikenang-kenang.
Saya ingat lagi masa saya nak berkahwin kira-kira 20 tahun dulu, macam-macam borang kena isi, termasuklah pengesahan kesihatan. Sanggup ikut step ditetapkan.
Kenapa bila nak kahwin lain, pilih shortcut? Jadilah seorang lelaki budiman. Kalau gentleman, kenapa ajak kahwin sempadan.
Bukan nak menentang perkahwinan, tetapi dalam hal begini biasanya yang kelak jadi mangsa adalah wanita.
Saya menerima kiriman emel daripada seorang pembaca, Nani. Wanita berusia 50 tahun ini meluahkan rasa kesalnya sebab kononnya tertipu, bila suami ajak kahwin di Siam.
Ceritanya, selesai kahwin di Siam, kena daftar di Malaysia. Dek kerana melengah-lengahkan pendaftaran semula, kena denda yang lebih banyak.
“Itu bab duit, bab tanggungjawab usah cakaplah. Kita ni hanya sah pada perhubungan sahaja tetapi tidak diiktiraf. Nak ke mana-mana pun susah dan kena buat temujanji dan menipu, sebab suami takut statusnya terbongkar.
“Pada usia emas ni, dah tak kuasa nak buat kerja tercuri-curi macam itu. Penat. Mujur kami tidak dikurniakan anak, kalau ada, tak tahulah macam mana keadaanya,” katanya.
Nani hanya ikut perancangan suaminya bernikah di selatan Thailand sekitar tahun 90an dulu.
Lantaran cinta dan percaya cakap suami bahawa prosedur bernikah di sana lebih mudah dan ringkas berbanding di Malaysia, rupa-rupanya kena scam dengan laki sendiri. Itu cerita Nani, bagaimana dengan kisah lain yang anda tahu, dengar atau alami?
Media melaporkan hal ini kerana perkahwinan dan kebahagiaan keluarga bukan lagi masalah individu sebaliknya masalah negara.
Kalau isu keluarga tidak settle, ia boleh membawa kepada masalah sosial, tekanan hidup, masalah kesihatan dan disiplin yang lain.
Akhbar hanya melaporkan, selebihnya pihak berwajib perlu serius mencari solusinya. Buatlah sesuatu, tidak ada orang yang nak berkahwin semata-mata untuk mendapat susah.
-Nor Afzan Mohamad Yusof Pengarang Rencana, Utusan Malaysia -UTUSAN