PETALING JAYA: Kakitangan Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) telah mengambil inisiatif membantu para penumpang MYAIrline yang terkandas ekoran syarikatn itu telah menghentikan operasi mulai hari ini.
Melalui hantaran di platform X, kelihatan kakitangan syarikat pengendali lapangan terbang itu memberi penerangan kepada para penumpang MYAirline yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Syarikat penerbangan tambang murah, MYAirline Sdn. Bhd. (MYAirline) mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini sehingga suatu tarikh yang diberitahu.
Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu berkata, keputusan penggantungan tersebut dibuat kerana tekanan kewangan yang menyebabkan operasi perlu digantung sementara menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan permodalan semula syarikat.
Menurut kenyataan itu, MYAirline turut menasihati penumpang yang terjejas supaya tidak ke lapangan terbang selain mencari alternatif lain untuk ke destinasi mereka.
“Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua kakitangan MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa.
“Kami sekali lagi mengulangi permohonan maaf atas sebarang kesulitan yang timbul daripada penggantungan ini dan akan melakukan yang terbaik untuk memaklumkan sebarang kemas kini sekiranya ada,” menurut kenyataan itu. – UTUSAN