Jurujual didakwa curi barang kemas majikan

Jurujual didakwa curi barang kemas majikan

NOR Adila Che Sharif dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret Ampang bagi menghadapi pertuduhan mencuri barang kemas milik majikannya. UTUSAN/NORLIZAH ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang jurujual mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini atas pertuduhan mencuri barang kemas di premis majikannya dengan mengubah suai resit pembelian pelanggan, bulan lalu.

Nor Adila Che Sharif, 31, didakwa mencuri barang kemas dengan mengubah suai empat resit pembelian daripada pelanggan dan mengambil barangan kemas milik majikannya untuk dijual bagi kegunaan peribadi.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kedai Emas Syarikat Zakaria & Sons Precious Metals (M) Sdn. Bhd. di Hulu Langat, Selangor antara 20 September lalu dan 21 Oktober lalu.

Oleh itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Norhidayah Abdullah Sani mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000 ke atas tertuduh.

Bagaimanapun peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), M. Mariappan yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah kerana tertuduh menanggung ibu bapa uzur selain pendapatan sebanyak RM1,800 sebulan.

Majistret Amalina Basirah Md Top. membenarkan jaminan sebanyak RM3,500 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan 5 Disember ini sebagai sebutan kes.

Rabu lalu, media melaporkan seorang jurujual wanita ditahan awal minggu ini selepas disyaki pecah amanah dengan memalsukan invois serta mencuri barang kemas di premis tempatnya bekerja.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Azam Ismail berkata, pengurus premis berkenaan membuat laporan polis selepas mendapati suspek yang bekerja lebih tiga tahun dan diamanahkan serta diberi kuasa untuk menjual emas telah menyebabkan kerugian berjumlah RM12,838.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN