PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) terpaksa akur dengan kekalahan 3-1 di tangan Ulsan Hyundai pada aksi ketiga Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Bolasepak Munsu, sebentar tadi.
Bermain di laman sendiri, kelebihan itu digunakan sebaiknya oleh skuad kendalian Hong Myung-bo apabila memperolehi tiga jaringan pantas dalam masa 18 minit ketika pasukan pelawat masih cuba menyesuaikan diri.
Taktikal Ulsan Hyundai memberi tekanan sebaik sahaja wisel permulaan ditiupkan nyata membuahkan hasil apabila memperolehi gol pertama seawal minit kelima menerusi tampanan mudah Jeong Seung Hyeon yang menyudahkan sepakan penjuru diambil oleh Darijan Bojanic.
Belum sempat skuad Harimau Selatan ‘bertenang’, tuan rumah sekali lagi hadir menggandakan jaringan tujuh minit kemudian dan kali ini menerusi rembatan kencang pemain tengah Ulsan, Gustav Ludwigson.
Pemain dari Sweden itu, sekali lagi menemui sasaran untuk menewaskan penjaga gol JDT, Syihan Azmi buat kali ketiga apabila terlebih dahulu memperdayakan Matthew Davies sebelum melakukan rembatan untuk gol kedua peribadinya pada minit ke-18.
Disebaliknya kelebihan tiga gol mendahului, Ulsan terpaksa bermain 10 pemain apabila pertahanan, Kim Tae Hwan dilayangkan kad merah pada minit ke-36 selepas mengutip kad kuning kedua kerana mengasari Corbin Ong.
Kekurangan 10 pemain itu menyaksikan JDT mencipta beberapa peluang namun gagal menembusi gawang yang dikawal Jo Hyeon Woo sehingga babak pertama berakhir.
Bersambung babak kedua, JDT meningkatkan intensiti permainan untuk menekan benteng Ulsan.
Usaha skuad Harimau Selatan mencari gol pertama akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-52 apabila hantaran satu dua antara Bergson dan Fernando Forestieri sebelum disudahkan menerusi rembatan kencang dalam kotak penalti oleh penyerang Brazil itu berjaya menggegar jaring tuan rumah.
Begitupun, Ulsan Hyundai nyata tidak mudah ‘panik’ apabila kembali memperkukuhkan benteng pertahanan,selain mencipta dua peluang terbaik untuk menggandakan jaringan tetapi gagal menewaskan Syihan.
Hasrat JDT untuk menambah jaringan tidak berhasil meskipun melakukan serangan bertali arus ke gawang Ulsan yang utuh bertahan hingga perlawanan tamat.-UTUSAN