Ivan beri bayangan untuk bersara

Ivan beri bayangan untuk bersara

SKUAD lelaki Malaysia yang dibarisi (dari kiri) Ivan Yuen, Syafiq, Eain Yow dan Addeen ketika meraih gangsa di Sukan Asia Hangzhou.-Ihsan SRAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pemain paling senior dalam skuad skuasy kebangsaan ke Sukan Asia di Hangzhou, Ivan Yuen telah mula memberi bayangan bahawa dia kini sedang dalam proses untuk menuju persaraan.

Hasrat tersebut disuarakan pemain berusia 33 tahun itu selepas dia membawa pulang pingat gangsa dalam acara berpasukan lelaki pada temasya empat tahun sekali tersebut.

“Saya rasa ini Sukan Asia terakhir saya, sudah tiba masanya saya melakukan perkara lain, saya akan kongsi kemudian apabila semuanya sudah siap.

“Buat masa ini, saya simpan dulu, apabila saya sudah bersedia, saya akan kongsi,” katanya kepada pemberita sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dari Hangzhou, China, Jumaat lalu.

Ivan membawa pulang pingat gangsa untuk acara berpasukan lelaki, selepas tewas kepada India pada separuh akhir Sukan Asia.

Menurut Ivan, dia kini dalam persediaan untuk ‘menggantung raketnya’ kerana sedar dirinya semakin meningkat usia.

“Saya tidak muda lagi, skuasy pula bukan sukan yang mudah baik dari segi fizikal dan mental, saya masih bermain sehingga penghujung tahun ini.

“Selepas itu saya akan lihat di mana saya akan pergi sama ada untuk terus bermain atau sebaliknya,” ujar juara skuasy kebangsaan sebanyak lima kali itu.

Mengimbas pencapaian terbaik Ivan, Sukan Asia di Indonesia, lima tahun lalu merupakan kejayaan terbesar dilakarnya selepas merangkul pingat emas dalam acara berpasukan lelaki dan dia juga meraih gangsa pada temasya sama di Guangzhou 2010 serta Incheon 2014.

Ivan yang bergandingan dengan Rachel Arnold dalam aksi beregu campuran turut muncul sebagai naib juara pada Kejohanan Beregu Campuran Asia di Hangzhou, Jun lalu.

Mengulas mengenai pencapaian skuad negara pada Sukan Asia yang menutup tirai temasya, kelmarin, Ivan memberitahu, secara keseluruhan skuasy mempamerkan prestasi cemerlang dan barisan pemain muda Malaysia cukup menyerlah pada penyertaan kali ini.

“Kita telah bekerja keras untuk negara, pasukan menunjukkan kesungguhan yang tinggi dan ramai pemain muda yang menyerlah kali ini dan ia bagus untuk melihat perkembangan ini,” tambahnya.-UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya