MANA-MANA isteri boleh membuat permohonan di mahkamah agar pembayaran nafkah oleh suami dilakukan secara potongan gaji.
Penasihat Persatuan Peguam Syarie Terengganu, Fazru Anuar Yusof berkata, isteri perlu
mengemukakan bukti-bukti yang menunjukkan suami culas dan hakim akan membuat penilaian di samping mendengar hujah kedua-dua pihak, sebelum memutuskan keputusan.
“Sebenarnya isteri boleh memohonnya ketika masih dalam perkahwinan lagi. Tetapi mungkin tidak ramai yang tahu atau mahu menyebabkan ramai yang berbuat demikian hanya selepas bercerai.
“Barangkali juga kerana boleh berbincang di rumah. Tetapi jika tiada penyelesaian misalnya suami jarang balik, maka disarankan isteri ke mahkamah untuk membuat permohonan nafkah potongan gaji itu,” katanya.
Langkah itu turut memudahkan isteri kerana tidak perlu lagi ‘mengejar’ dan menuntut hutang daripada suami yang culas membayar nafkah pada setiap bulan.
Keputusan hakim akan mengambil kira faktor seperti kebajikan semasa
anak dan liabiliti suami.