KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berjaya mendapat perintah agar Papagomo memadamkan satu hantaran berbaur fitnah di Facebook blogger berkenaan dalam tempoh 24 jam.
Blogger terbabit dan ejennya juga dikenakan perintah injunksi agar tidak mengulangi sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap menteri itu dalam apa jua cara di mana-mana medium.
Menurut peguam, Datuk Akberdin Abdul Kadir, perintah injunksi ex-parte (sebelah pihak) itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Leong Wai Hong selepas membenarkan permohonan tersebut pada prosiding yang dijalankan secara dalam talian hari ini.
Pada prosiding hari ini, Akberdin turut dibantu oleh peguam, Dr. Mohd. Rafie Mohd. Shafie.
Tambah Akberdin, mahkamah turut menetapkan 7 November ini sebagai tarikh pendengaran injunksi inter-parte (kedua-dua pihak).
Pada 19 Oktober lalu, Mohd Na’im selaku plaintif memfailkan saman fitnah itu dengan menamakan Papagomo atau nama sebenarnya, Wan Muhammad Azri Wan Deris sebagai defendan tunggal.
Blogger terbabit, pada 18 September lalu didakwa telah memuat naik satu video berdurasi enam minit 41 saat diambil daripada akaun “Tiktok “@nurhafizulbadrulhisham” ke Facebook miliknya, Sir Azri dengan kapsyen berbaur fitnah yang didakwa merujuk kepada Mohd. Na’im.
Video tersebut merupakan merupakan satu video reaksi (reaction) oleh individu bernama Nurhafizul Badrul Hisham terhadap satu ulasan yang berkenaan tindakan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How.
Kapsyen berbaur fitnah tersebut antara lain telah menggambarkan Mohd. Na’im mempunyai kes berkaitan tuduhan seksual adalah seorang penunggang agama yang tidak cakna dengan kestabilan masyarakat Melayu yang beragama Islam di negara ini.
Ia juga menggambarkan plaintif bahawa beliau selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak membuat atau melakukan apa-apa tindakan positif bagi kesejahteraan agama Islam.
Kenyataan berbaur fitnah itu juga telah menjejaskan reputasi, merosakkan martabat, menjatuhkan maruah dan merendahkan status dirinya di mata masyarakat umum. – UTUSAN..