Damai dikelilingi 900 pokok kaktus

Damai dikelilingi 900 pokok kaktus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELANGKAH masuk ke mahligai Norashikin Mohamed di Taman Desa Baiduri, di Cheras, mata terus terpukau dengan keindahan taman mini kaktus miliknya.

Pelbagai spesis kaktus termasuk yang diimport, bernilai tinggi dan jarang dijumpai menghiasi sudut khas di kawasan garaj kediaman surirumah berusia 38 tahun itu.

Penggunaan pasu-pasu comel dan berwarna-warni menambahkan lagi seri taman berkenaan, seolah-olah berada di nurseri dengan susun atur kemas dan bersih.

Dianggarkan terdapat hampir 900 pasu yang terdiri daripada lebih 100 jenis kaktus dan sukulen ditempatkan di ruangan itu selain di luar pagar rumahnya.

Daripada jumlah itu, hampir 600 pokok adalah daripada keluarga gymnocalycium yang merupakan kaktus berwarna-warni diimport dari luar negara.

Pemandangan tersebut sudah cukup untuk menggambarkan kasih sayang mendalam Norashikin terhadap tumbuhan hiasan yang unik itu.

Menceritakan lebih lanjut, katanya, cinta pada kaktus sudah disemai sejak di bangku sekolah rendah lagi dan berkekalan hingga kini.

Segala-galanya bermula ketika beliau menyertai rombongan kelas ke Cameron Highlands hampir 30 tahun lalu, lantas membuatkannya tertarik dengan tumbuhan comel itu.

“Kaktus merupakan pokok pertama yang dibeli dan sejak itu saya mula mengumpulnya secara
kecil-kecilan sebagai hobi.

“Ketika itu masih budak-budak dan tiada ilmu tentang kaktus, akibatnya pokok-pokok
yang dijaga lekas mati serta tidak mampu hidup lama,” kongsinya ketika ditemui Seri baru-baru ini.

Norashikin merupakan antara 10 pentadbir kumpulan Faceboook (FB), Peminat Taman Mini Kaktus & Sukulen, diasaskan pada 2020.

Malah, dia turut mengendalikan kumpulan FB miliknya, Eqien Shah Cactus.

TERAPI TERBAIK
Bekas guru tadika ini kembali mengumpul kaktus selepas berumahtangga dengan anggota
polis, Shahzulzaini Abd. Jali, 38, pada 2009.

Hobi itu secara tidak langsung dapat mengisi masa lapangnya dan menghilangkan kebosanan ketika suami berkerja syif.

“Paling manis, kaktus menjadi terapi terbaik saya sepanjang tiga tahun pertama perkahwinan apabila belum mendapat cahaya mata.

“Momen menjaga, membaja dan menyiram pokok itu cukup mendamaikan jiwa,” ujar ibu tiga
anak berusia tujuh hingga 11 tahun itu.

Pada 2015, beliau berjinak-jinak pula mengumpul pelbagai jenis kaktus tempatan manakala tiga
tahun berikutnya, memberanikan diri membeli pokok-pokok import dari Thailand, Indonesia dan Filipina.

Norashikin kemudian nekad terlibat secara serius dalam hobi itu ketika fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Lebih istimewa, minatnya turut dikongsi bersama suami yang turut melakukan kaedah cantuman atau kahwin (grafting) kaktus jenis monkey tail, fork tail dan rat tail.

 

TANAM DI BALKONI
Ruangan terhad bukan alasan Norashikin menghentikan minatnya terhadap kaktus.

Selama bertahun-tahun tumbuhan itu dipelihara di balkoni kuarters polis di Desa Tasik, Sungai Besi di Kuala Lumpur sebelum mereka sekeluarga berpindah ke rumah teres, kini.

“Bayangkan balkoni yang sekangkang kera itu boleh memuatkan ratusan pokok.

“Penglibatan serius saya dalam hobi ini adalah ketika menghuni di kuarters. Bila berpindah ke rumah baru, saya terpaksa jual sebahagian pokok dengan pulangan semula mencecah RM8,000,” katanya.

Wang berkenaan kemudiannya dimanfaatkan untuk membuat bumbung di garaj di samping membeli rak.

MUDAH JAGA, TAK MANJA
Penjagaan kaktus tidak sesukar pokok hiasan lain asalkan pemilik tahu keperluan tumbuhan
itu.

Paling utama adalah menggunakan medium tanah poros di samping faktor air, cahaya dan persekitaran.

Norashikin berkata, penjagaan tepat boleh memastikan jangka hayat pokok itu mencapai sehingga 10 ke 20 tahun.

“Kaktus tidak semanja keladi. Bagi saya ia lebih senang dijaga.

“Dakwaan kononnya tidak perlu disiram itu salah, kerana pokok ini masih memerlukan air untuk hidup,” ujarnya.

Rutin siraman yang disarankan adalah antara dua ke tiga kali seminggu dan pada waktu malam.

Semasa musim tengkujuh, siraman dilakukan apabila medium kering.

Antara penyebab tumbuhan itu mati adalah kerana terlebih air dan akar tidak sihat.

BERHABIS PULUHAN RIBU
Kalau sudah namanya hobi, pastilah menuntut perbelanjaan yang tinggi. Situasi sama dialami Norashikin sebagai peminat tegar kaktus.

Ujarnya, memelihara kaktus merupakan hobi mahal kerana seseorang terdorong untuk membeli jenis atau ID pokok yang unik dan cantik dari luar negara.

Harga tinggi itu disebabkan ia hibrid daripada baka bermutu dan baharu di pasaran.

Sehingga kini, dianggarkan lebih RM10,000 dilaburkan untuk membeli pokok-pokok hiasan itu.

Kaktus paling mahal dibeli adalah pink diamond yang berharga RM900 untuk saiz anak pokok sebesar tiga sentimeter.

“Seperti orang lain, saya juga sudah lali dengan situasi beli mahal-mahal tetapi pokok mati tidak
sampai beberapa bulan. Kerugian sudah beribu-ribu, namun masih tidak serik untuk meneruskan hobi ini,” katanya ketawa.


JANA PENDAPATAN
Kegilaan surirumah ini terhadap kaktus membolehkannya menjana pendapatan sampingan dengan menjual pokok dan medium.

Malah beliau mampu meraih antara RM2,000 ke RM3,000 sebulan hasil jualan barangan tersebut.

“Walaupun hobi ini dilakukan secara santai, tetapi secara tidak langsung dapat memberi pulangan
lumayan.

“Idea menjual medium tercetus daripada permintaan rakanrakan kerana mereka tiada masa
untuk membuat campuran tanah manakala bagi pokok-pokok pula, jualan hanya kepada golongan pengumpul kaktus sahaja,” katanya.

Satu pek medium dijual pada harga RM18 manakala antara pokok-pokok yang laris ialah jenis monkey tail, fork tail dan rat tail.

Ketika ini tidak ramai penjual di Malaysia yang menjual pokok-pokok yang dianggap rare itu.

Selain itu, beliau turut bersyukur kerana dapat menambah ramai kenalan dan berkongi pengalaman dengan penggemar kaktus di seluruh negara.

“Sebagai perancangan masa depan, saya berhasrat membuka nurseri kaktus berkonsepkan rumah
hijau di samping menjalankan proses biak baka,” katanya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya