BANGI: Dasar Koperasi Malaysia (DaKoM) 2030 mensasarkan perolehan sebanyak RM60 bilion pada 2025 dan RM73 bilion pada 2030 menerusi empat teras dasar dan 20 strategi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Benedick berkata, kerangka DaKoM 2030 adalah kesinambungan dasar kementerian sebelum ini dengan hala tuju strategik bagi pembangunan koperasi dalam meningkatkan prestasi ekonomi dan kesejahteraan sosial anggotanya.
Jelasnya, tiga objektif utama yang ingin dicapai menerusi dasar baharu itu adalah menjadikan sektor koperasi sebagai penyumbang signifikan kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia, membentuk koperasi yang berkemampuan dan kukuh, dan meletakkan koperasi sebagai model perniagaan pilihan dalam memacu pembangunan sosioekonomi Malaysia.
“Selain itu, empat prinsip asas yang digariskan dibawah DaKoM 2030 adalah Menyatukan, Mendidik, Membangun dan Berkembang.
“Dalam pada itu, KUSKOP komited untuk meningkatkan kesedaran, kefahaman serta penghayatan berkoperasi dalam kalangan masyarakat menerusi Program Memasyarakatkan Koperasi di pelbagai lapangan,” katanya ketika berucap dalam majlis peluncuran DaKoM 2030 di Hotel Tenera, di sini hari ini.
Hadir sama pada majlis peluncuran DaKoM 2030 ialah Timbalan Menteri KUSKOP, Senator Saraswathy Kandasmi; Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Suriani Ahmad dan Ketua-Ketua agensi KUSKOP.
Menurut Ewon, setakat 31 Disember 2022, sebanyak 15,315 koperasi telah didaftarkan dengan syer sebanyak RM16.98 bilion serta aset bernilai RM159.61 bilion.
Namun, katanya, aktiviti ekonomi koperasi mengalami beberapa kekangan dalam konteks perundangan di peringkat nasional yang membataskan penyertaan koperasi dalam aktiviti ekonomi berprospek tinggi ekoran beberapa akta perundangan yang membataskan perniagaan koperasi. – UTUSAN