Cari kaedah pentadbiran terbaik - Sultan Mizan

Cari kaedah pentadbiran terbaik – Sultan Mizan

SULTAN Mizan Zainal Abidin berkenan bertitah pada Istiadat Pembukaan Penggal Kedua Sidang Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan kerajaan negeri mencari kaedah serta model terbaik dalam sistem pentadbiran agar lebih telus dan efisien sebelum memutuskan sebarang keputusan yang bakal dilaksanakan demi kepentingan kerajaan dan rakyat. 

Titah Sultan Mizan, langkah tersebut perlu dilakukan berikutan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu menyaksikan kerajaan negeri tidak mempunyai pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penggal ini. 

Baginda bertitah, kerajaan negeri perlu mentadbir secara teratur dan berkesan secara kolaborasi menyeluruh di semua peringkat badan-badan kerajaan yang berkepentingan agar keputusan yang dibuat secara cekap dan tepat.

“Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini telah menyaksikan keputusan rakyat telah memilih kerajaan Beta tanpa adanya pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penggal ini.  Oleh yang demikian, melalui doktrin pengasingan kuasa yang merupakan pembahagian di dalam amalan demokrasi iaitu kuasa eksekutif, legislatif serta judisiari menjadi semak dan imbang yang efektif bagi Kerajaan Beta walaupun pemusatan kuasa kini sepenuhnya oleh pihak kerajaan.

“Beta percaya dan yakin dengan ‘rules of law’ di negara ini serta prinsip Rukun Negara yang keempat iaitu Kedaulatan Undang-Undang berjalan dengan baik, adil serta saksama kepada semua strata sosial di dalam masyarakat,” titah baginda pada Istiadat Pembukaan Penggal Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15 di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Selain itu, Sultan Mizan menitahkan, kerajaan negeri juga perlu  memberikan tumpuan kepada bidang-bidang yang bakal memberikan rantaian impak di dalam persekitaran sosial serta ekonomi yang inklusif, kukuh dan mampan melalui perkembangan pembangunan wilayah di  Terengganu, melestarikan pelan pembangunan pelancongan serta pembasmian kemiskinan dan kesejahteraan rakyat.

“Tumpuan wajar diberi ke arah peluang pelaburan, ekonomi dan pekerjaan, perkembangan potensi pertanian serta pembangunan modal insan.

“Beta dimaklumkan negeri Terengganu merekodkan 6,330 ketua isi rumah (KIR) yang berstatus miskin tegar. 

“Pelbagai pendekatan serta inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan Beta bagi mengurangkan kitaran kemiskinan ini termasuk pelaksanaan Program Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR-BMT) secara berperingkat melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dengan jumlah peruntukan sebanyak RM23 juta. 

“Oleh yang demikian, Beta menyarankan agar inisiatif seperti ini perlu diperbanyakkan agar golongan sasar bebas dan terus keluar daripada insiden kemiskinan,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda bertitah, pasca Covid-19 memberikan cabaran baharu kepada sektor pelancongan dalam mendepani senario ekonomi dunia yang tidak menentu.

“Kerajaan Beta perlu meneroka potensi baharu dalam industri ini agar dapat memberi nilai tambah kepada aset-aset pelancongan sedia ada, beri penekanan terhadap penjenamaan produk dengan mengenal pasti ‘Unique Selling Point’ (USP) yang ditawarkan untuk menarik minat pelancong seperti menjenamakan Terengganu sebagai destinasi pelancongan marin terkemuka dalam negara,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya