PETALING JAYA: Penyanyi rap, Caprice dan pempengaruh Indonesia Mondy Tatto diarahkan oleh mahkamah memadamkan semua video yang mencemarkan reputasi dan berbentuk ugutan kepada Ebit Lew yang dimuat naik di platform media sosial mereka.
Arahan itu ekoran Ebit Lew memperoleh perintah injunksi terhadap Caprice dan Mondy bagi menghalang mereka daripada mengeluarkan sebarang kenyataan yang mencemarkan reputasi atau berbentuk ugutan terhadap penceramah itu, keluarga dan rakan-rakannya.
Perintah injunksi interim (sementara) yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 5 Oktober lalu mengarahkan Caprice dan Mondy untuk memadamkan satu rakaman di laman Youtube Nustix.com The Podcast Show dan lima video di Instagram penyanyi rap itu.
Kesemua video dan rakaman itu hendaklah dipadamkan dalam tempoh 24 jam selepas perintah injunksi sementara itu dikeluarkan.
Bagaimanapun, semakan di laman Youtube dan Instagram tersebut mendapati kesemua video terbabit masih disiarkan.
Pada 26 September lalu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew memfailkan saman fitnah terhadap Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli dan Mondy atau nama sebenarnya, Dita Restu Amanda.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan, Ebit selaku plaintif memberitahu beliau mula mengenali Mondy ketika menjalankan aktiviti kemanusiaan di Jakarta, Indonesia pada 7 Jun lalu. – UTUSAN