TIGA tahun lalu, jarinya pernah tercucuk jarum mesin jahit hingga mengalami luka teruk ketika menyiapkan tempahan peralatan perlindungan diri (PPE).
Detik cemas itu bagaimanapun tidak melunturkan semangat Samsarina Salfudin, 53, untuk menjahit hingga kini.
Tiada istilah trauma, sebaliknya bekas penyunting di sebuah syarikat akhbar tempatan itu tetap meneruskan hobinya.
Komitmen dipamerkan itu jelas membayangkan cintanya pada dunia jahitan walaupun cuma sekadar untuk mengisi masa lapang di rumah.
Samsarina berkata, minat untuk menjahit beg lahir secara tiba-tiba selepas berhenti kerja pada 2014 dan bergelar surirumah sepenuh masa.
Sedangkan, sejak kecil, ibu kepada empat anak lelaki berusia antara 18 hingga 25 tahun ini tidak pernah memiliki minat atau kecenderungan pada aktiviti tertentu.
Di samping itu, kekangan kerja selama hampir hampir 20 tahun turut membataskan ruangnya untuk mempunyai hobi.
Hanya apabila berusia 44 tahun, Samsarina mula menemui minat yang dicari-cari selama ini.
“Kawan-kawan cadangkan banyak hobi tetapi nak bertanam seperti orang lain, tangan saya pula ‘panas’ dan habis pokok bunga mati.
“Ilham menjahit beg datang secara tiba-tiba pada 2015 dan daripada sekadar cuba-cuba, saya jadi makin seronok kerana masa terluang di rumah dapat diisi dengan aktiviti berfaedah,” ujarnya ketika ditemui Seri di kediamannya di Shah Alam baru-baru ini.
Benarlah kata orang, usia bukan penghalang untuk mana-mana individu mencapai impian mahupun mencabar diri melakukan perkara-perkara baharu dalam hidup.
Selagi ada usaha, keberanian dan keazaman, apa sahaja yang diidamkan boleh menjadi kenyataan.
Belajar jahit baju tetapi buat beg
Tamat sekolah menengah, Samsarina pernah mengikuti kelas menjahit baju kurung dan Melayu.
Tetapi ilmu itu tidak dimanfaatkan langsung berikutan tiada minat dalam bidang jahitan.
Selepas berhenti kerja, beliau sekali lagi memasuki kelas menjahit baju tradisional tetapi masih tiada keinginan untuk menjahit pakaian.
Sebaliknya, wanita ini lebih berminat ke arah sulaman termasuk turut menghasilkan beg, walaupun tidak mengikuti kursus atau latihan asas dalam pembuatan produk kraf tersebut.
Tanpa berlengah, Samsarina membeli mesin sulam bersaiz kecil yang berharga RM2,900 dan selang tiga bulan, mesin lain pula dibeli bagi melancarkan urusannya.
“Pada peringkat awal saya cuba-cuba buat kotak pensel serta rantai kunci bersulam dan anak bongsulah yang mempromosikan kraf itu pada kawan-kawannya di sekolah.
“Saya teruja apabila ada yang mahu menempah dan makin lama, makin banyak tempahan yang diterima bukan sahaja melalui rakan-rakan anak, malah jiran-jiran di taman perumahan dan kenalan di Facebook,” kongsinya.
Bila negara dilanda wabak Covid-19, Samsarina meluaskan bakatnya dengan menjahit beg pula selepas mengikuti empat tutorial video berbayar secara dalam talian.
Semua itu dilakukan atas permintaan rakan-rakan dan pelanggan yang mahukan beg mengikut citarasa mereka.
Antara dihasilkan ialah beg sejadah, beg tangan, beg guni dan beg kuliah dengan sentuhan istimewa iaitu sulaman nama.
Beg sejadah paling laris
Dalam banyak jenis, beg sejadah paling laris. Beg yang dibuat sekitar tahun 2021 itu dijual pada harga RM65.
Apa yang mengejutkan apabila pelanggannya bukan sahaja dalam kalangan orang Islam, malah bukan Islam.
“Pelanggan bukan Islam pertama membeli beg itu adalah rakan universitinya yang merupakan guru di Sarawak.
“Beg itu dihadiahkan kepada seorang cikgu yang bakal bersara di sekolah.
“Malah, dia turut mempromosikan produk saya kepada rakan-rakan sekerjanya di samping membantu mengambil tempahan,” katanya.
Proses, cabaran
Asam garam sebagai pembuat kraf, ada masanya produk yang dihasilkan tidak menjadi dan menuntut penambahbaikan.
Ruang itu dimanfaatkan Samsarina untuk memperbaiki kelemahan diri dan memantapkan lagi skil jahitannya.
Mengenai proses membuat beg sejadah, ia bermula dengan menjahit sulaman nama terlebih dahulu, sebelum kain digosok dan dijahit.
“Kerja-kerja menjahit tidak lama cuma yang lecehnya adalah untuk menggosok kain yang mengambil masa kira-kira 15 minit bagi setiap satu beg.
“Langkah terakhir adalah menjahit sejadah di bahagian dalam beg dengan menggunakan produk (sejadah) yang sedia ada di pasaran,” katanya yang mendapatkan bekalan fabrik daripada sebuah premis di Tangkak, Johor.
“Beli online sebab mudah dan cepat. Setiap satu fabrik yang dibeli itu perlu berukuran sekurang-kurangnya lima meter,” katanya.
Gembirakan pelanggan
Kepuasan menjahit dinikmati apabila pelanggan memuji setiap hasil kerjanya.
“Siapa sangka hanya dengan hobi ini, saya dapat menggembirakan orang lain dan itulah motivasi yang mendorong saya untuk terus hasilkan kraf yang lebih baik,” katanya.
Mengulas suka duka sepanjang terlibat dalam bidang berkenaan, katanya, antara kenangan manis yang sukar dilupakan adalah apabila menerima tempahan 100 buah dompet pada pukul 12 tengah malam.
Walaupun ketika itu sudah mahu tidur, namun beliau tetap meluangkan masa melayan pelanggan.
“Biarpun tak kenal pelanggan berkenaan, tetapi proses urus niaga berjalan lancar dan mudah,” katanya.
Sokongan suami, anak-anak
Tanpa sokongan keluarga sebagai tulang belakang, Samsarina mungkin tiada kekuatan untuk meneruskan hobi membuat beg itu.
Katanya, suami dan empat orang anaknya antara individu paling gembira apabila mengetahui hasratnya berhenti kerja dan memulakan minat dalam kraf.
Rutin hobinya bermula selama empat jam sehari iaitu pada waktu pagi dan petang.
“Ketika memulakan hobi ini, anak-anak masih kecil tetapi, kini masing-masing sudah besar dan tiada di rumah kerana belajar di menara gading.
“Sekurang-kurangnya dengan ada hobi ini, saya tidaklah bosan apabila suami keluar bekerja dan paling bermakna, tahun lalu saya dapat menjaga ibu yang sakit kerana patah kaki.
“Sambil menjaganya, saya masih dapat meneruskan kerja-kerja menjahit dan menyiapkan tempahan pelanggan,” katanya.
Raih pendapatan sampingan
Hobi menjahit beg turut membantu Samsarina menjana pendapatan kasar sehingga RM2,000 sebulan, malah boleh melonjak ke RM6,000 sebulan jika tempahan tinggi.
“Hampir 20 tahun saya makan gaji dan tidak sangka masih boleh pegang duit walaupun bergelar surirumah.
“Sedikit sebanyak saya ada duit untuk membeli keperluan diri dan menampung perbelanjaan anak-anak,” katanya yang berharap bakat menjahit itu dapat diteruskan anak-anak.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kesediaan untuk mengajar mana-mana individu yang mahu menceburi dunia kraf beg.