Boost bersama CelcomDigi lancar kad prabayar antarabangsa

Boost bersama CelcomDigi lancar kad prabayar antarabangsa pertama di Malaysia dengan fungsi bayar kemudian

boost
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Boost, peneraju teknologi kewangan (fintech) serantau, memperkenalkan Beyond Card, hasil kerjasama dengan CelcomDigi melalui rangkaian Mastercard. Kad inovatif ini merupakan kad antarabangsa dua-dalam-satu pertama di Malaysia, membolehkan pelanggan mengakses dana daripada baki Boost wallet dan menggunakan talian kredit pra-kelulusan.

Ia menjadi kad pertama di Malaysia dengan fungsi unik, selain diterima secara meluas di seluruh rangkaian lebih 100 juta peniaga Mastercard di seluruh dunia.

Pelanggan terpilih akan dijemput untuk memohon kad berkenaan mulai 9 Oktober 2023, dengan pengguna Celcom menikmati akses untuk mengemukakan permohonan menerusi aplikasi Boost, diikuti pengguna Digi dalam masa terdekat.

Beyond Card oleh CelcomDigi dan Boost menawarkan pembayaran fleksibel berpatuhan syariah menerusi kemudahan kredit dengan cara lebih bertanggungjawab, menggunakan teknik pemarkahan mantap bagi memastikan pelanggan yang ditawarkan talian kredit memiliki keupayaan untuk pembayaran balik.

Ia juga menangani jurang kewangan membabitkan sasaran pelanggan tanpa kad atau hanya memiliki kad asas dengan tawaran pengalaman premium.

Selain itu,  kad itu juga merupakan yang pertama di Malaysia dan Asia Tenggara yang menawarkan Ganjaran Pelancongan Mastercard, dengan pelanggan yang layak boleh menikmati ganjaran menarik seperti Pulangan Tunai 12 peratus daripada Lazada, diskaun 15 peratus untuk tempahan penerbangan MAS, selain penjimatan sehingga 10 peratus, hadiah percuma dan diskaun 10% bebas cukai di Mitsui Outlet Park.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon berkata, adalah sesuatu yang istimewa bagi mereka untuk dapat melancarkan produk pertama dalam pasaran bersama-sama syarikat sekutu, CelcomDigi dan membolehkan menawarkan pengalaman kad peringkat sastu kepada segmen besar gabungan pangkalan pelanggan mereka.

“Pelancaran produk ini merupakan gabungan kejayaan inovasi kewangan inklusif, ditambah dengan nilai sinergi yang dimiliki oleh dua syarikat utama Malaysia dalam Kumpulan Axiata. Ia juga mengukuhkan lagi perkongsian kami dengan Mastercard yang dijalin di bawah objektif bersama untuk membawa inovasi baharu kepada landskap kewangan di Malaysia,” katanya.

Ketua Pegawai Inovasi CelcomDigi, T Kugan berkata, perkongsian itu menandakan satu langkah penting ke arah keterangkuman kewangan bersama-sama dengan produk dan perkhidmatan telekomunikasi, memberikan kemudahan dan pengalaman yang bermanfaat kepada pengguna Malaysia yang secara beransur-ansur beralih kepada pendekatan mengutamakan digital untuk banyak gaya hidup harian.

“Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan peneraju industri dan memacu inovasi digital merentasi ekosistem digital Malaysia, seterusnya menyokong agenda digital negara,” katanya.

Pengurus Negara Mastercard bagi Malaysia dan Brunei, Beena Pothen pula berkata, dengan Beyond Card, rakyat Malaysia boleh meneroka pengalaman pelancongan tiada tandingan dalam pelbagai segmen merangkumi makanan terbaik, beli-belah, hiburan dan banyak lagi.

“Penyelidikan daripada Institut Ekonomi Mastercard menekankan penilaian orang ramai berhubung pengalaman melebihi kebendaan , menjadikan integrasi Ganjaran Pelancongan Mastercard disesuaikan secara semula jadi dengan trend ini.

“Kerjasama dengan Boost dan CelcomDigi merupakan peristiwa penting dalam industri, mencerminkan dedikasi bersama dalam mengutamakan minat pengguna, terutamanya dalam perkara membabitkan pelancongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya