Aura negatif ibu bapa pengaruhi hidup anak-anak

Aura negatif ibu bapa pengaruhi hidup anak-anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Hidup di bawah langit sama, memandang bulan yang sama. Namun nasib dan takdir hidup setiap orang berbeza antara satu sama lain.

Mungkin kita adalah antara anak-anak yang hidup bahagia memiliki ibu bapa penyayang, menjaga lisan dan memberi didikan seimbang ilmu dunia akhirat.

Namun, ada sahabat kita berdepan ujian apabila dibesarkan oleh ibu bapa yang suka memaki hamun, bercakap kasar dan memperlekehkan anak-anak.

Minggu ini saya kongsikan kisah Luvena (bukan nama sebenar) yang diuji hidupnya kerana kedua orang tua mempunyai aura negatif sekali gus memberi kesan buruk kepada jiwa dan emosinya.

Luvena yang saya temui baru-baru ini mengakui kesediaan berkongsi kisah hidupnya bukan untuk membuka aib keluarga.

Apatah lagi bapanya telah meninggal dunia akibat Covid19 kira-kira dua tahun lalu.

“Kata-kata kesat, maki hamun, sumpah seranah yang keluar daripada mulut ibu dan ayah masih terngiang-ngiang. Ia sangat-sangat mempengaruhi jiwa dan perasaan saya sehingga ke hari ini.

“Hati menjadi geram, benci dan memendam rasa,” ujar Luvena memulakan perbualan lewat petang itu.

Menurut wanita berusia pertengahan 30an itu, hanya orang yang pernah mengalami akan faham, apa yang dirasai dan ditempuhinya.

Ketika ini dia cuba mencari kekuatan diri untuk menerima ibunya yang terlantar sakit.

‘Saya cuba untuk berdamai dengan segala takdir Allah termasuk mempunyai ibu dan ayah sedemikian rupa,” ujarnya menahan sebak.

Memulakan cerita, kata Luvena yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu, sejak kecil hingga dewasa hidup mereka hanya mendapat dan mendengar maki hamun dan kata kesat daripada ibu bapa sendiri.

Luvena mempunyai dua abang iaitu Azman dan Dani (bukan nama sebenar).

“Betul kata orang apa yang kita berikan masa anak-anak kecil, itulah mereka apabila dewasa kelak.

“Siapa, kenapa dan di mana abang dan saya hari ini adalah hasil didikan daripada ibu dan ayah,” ujarnya.
Kata Luvena, sejak kecil mereka tiga beradik sering menjadi sasaran maki hamun ibu dan ayah.

Setiap kali bertemu dengan saudara mara atau kenalan, ibu dan ayah sering merendah-rendahkan mereka terutama abang sulung.

Ada sahaja benda yang tidak memuaskan hati ibu dan ayah terutama dari segi pencapaian dalam pelajaran.

Hari bertukar minggu, minggu beralih bulan seterusnya menjengah tahun. Sikap dan layanan ibu dan ayah terhadap mereka tidak pernah berubah.

Sepanjang hidup abang sejak di bangku sekolah hingga memasuki dunia pekerjaan, ibu dan ayah tidak pernah berpuas hati. Mereka seolah-olah tidak nampak usaha dan kebaikan yang abang buat.

Apa sahaja yang abang lakukan, tidak pernah menyenangkan.

Disebabkan itu abang jadi seorang penakut, tidak berkeyakinan, alami kemurungan dan akhirnya terpaksa dirawat di hospital sakit jiwa.

Lain pula cerita dengan abang keduanya, Dani. Dani memilih untuk berhijrah dan mencari pekerjaan di luar negara selepas gagal mendapat pekerjaan sebaik tamat tingkatan lima.

“Kami sudah terputus hubungan. Namun menurut kawan baiknya, abang telah berumahtangga dan mempunyai tiga anak.

“Apa yang menyedihkan, saya mendapat tahu cara abang mendidik anak-anaknya banyak dipengaruhi ibu dan ayah ketika membesarkan kami tiga beradik. Abang juga suka memaki dan memarahi anak-anaknya tanpa alasan tertentu,” katanya.

Berbanding kedua-dua abang, nasib Luvena agak baik.

Selepas tamat darjah enam dia berpeluang melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu di asrama penuh dan hanya pulang ke rumah pada hujung minggu atau sekali sebulan.

“Setiap kali cuti hujung minggu saya lebih suka tinggal di asrama atau mengikut kawan balik ke rumah mereka. Bukan tidak rindu kepada ibu dan ayah, tetapi cuba menahan daripada mendengar caci maki mereka.

“Bukan sahaja semasa di asrama, ketika menuntut di universiti juga saya berat untuk pulang setiap kali cuti semester,” ujarnya.

Kata Luvena, sejak akhir-akhir ini dia mendapat tahu kesihatan ibu semakin merosot.

Namun, hatinya masih belum terbuka untuk menjaga ibunya.

“Suami tidak pernah menghalang jika saya mahu membawa ibu pulang ke rumah kami dan menjaganya, namun saya sendiri tidak bersedia.

Sambungnya, setakat ini apa yang mampu dilakukan mereka suami isteri adalah dengan menggajikan pengasuh untuk menguruskan makan pakai ibu di kampung.

Katanya, sebagai seorang ibu dia tidak mahu apa yang berlaku kepada dirinya berulang kepada anak-anak.

“Saya bukan ibu sempurna, namun akan cuba menjadi yang terbaik kepada anak-anak dan keluarga.

“Dalam masa sama saya cuba menjadi anak yang baik di sisa usia ibu yang masih berbaki ini.

“Yang pasti setiap kali usai solat saya tetap mendoakan kesejahteraan ibu dan arwah ayah, malah tidak lupa untuk diri saya sendiri agar dibuka hati untuk menjaga ibu sendiri suatu hari nanti,’’ tutur ibu kepada sepasang cahaya mata berusia empat dan enam tahun ini.

Sesungguhnya Islam menganjurkan agar anak-anak sentiasa mendoakan kerahmatan dan keampunan buat kedua-dua ibu bapanya.

Sebagaimana Firman Allah SWT dalam surah Al-Isra, ayat 24 bermaksud; Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): Wahai Tuhanku!, Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya, memelihara dan mendidikku semasa kecil. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya