PETALING JAYA: Malaysia menutup kempen Kejohanan Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) dengan merangkul pingat perak bagi acara berpasukan wanita, sekali gus mengulang keputusan yang pernah diraih dalam kejohanan sama dua tahun lalu.
Perlawanan yang berlangsung malam kelmarin di Salmiya, Kuwait itu menyaksikan skuad negara dibarisi Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, Esther Cheah, Gillian Lim dan Nora Lyana Nastasia Norkamal tewas 1-2 di tangan Korea.
Saingan akhir itu juga menunjukkan Malaysia terpaksa akur mempertahankan pingat dengan keputusan 177-211, 207-169, 203-214.
“Alhamdulillah kami dapat pingat perak dalam acara berpasukan tahun ini seperti di Dubai, pada 2021. Saya dan rakan sepasukan telah melakukan persembahan yang terbaik malah kami tewas pada saat balingan terakhir.
“Walau bagaimanapun, saya masih berbangga dengan keputusan ini dan pasukan kerana kami telah berusaha sehabis baik dalam acara berpasukan tahun ini,” kata Nora Lyana kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu mereka mara ke final selepas menumpaskan Singapura 2-1 sementara Korea Selatan mengalahkan China 2-0.
Sementara itu, skuad lelaki negara – Rafiq Ismail, Timmy Tan, Ahmad Muaz Fishol, Syafiq Ridhwan Malek, Syazirol Shamsudin dan Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam terlepas peluang ke separuh akhir selepas hanya berjaya menduduki tempat keenam daripada lapan pasukan pada pusingan kedua.
Minggu lalu, Natasha mengakhiri kemarau 12 tahun negara bagi memenangi kejuaraan individu wanita pada Kejohanan Dunia selepas menewaskan rakan sepasukan Li Jane 2-1.
Gandingan Syafiq Ridhwan-Ahmad Muaz kemudian meraih gangsa dalam acara beregu lelaki empat hari lalu.-UTUSAN