300 pelajar sertai Kem Jati Diri Belia Perlis - Utusan Malaysia

300 pelajar sertai Kem Jati Diri Belia Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menyempurnakan majlis perasmian pelepasan Kem Jati Diri Belia Perlis (Youth2Unity@Patriotic) 2023 di Dewan Warisan, Kangar, Perlis hari ini.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seramai 300 pelajar terpilih dari negeri ini menyertai Kem Jati Diri Belia Perlis (Youth2Unity@Patriotic) 2023.

Majlis perasmian pelepasan program itu disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil di Dewan Warisan di sini hari ini.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof dan Ketua Pengarah Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD), Mohd Haswandi Ahmad.

Program tersebut dianjurkan oleh i-LEAD, Kementerian Belia dan Sukan (KBS0 dengan kerjasama Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Jabatan Pendidikan negeri serta Rejimen 504 Askar Wataniah.

Mohd Haswandi berkata, pelaksanaan program tiga hari dua malam itu diadakan di tiga buah Kem Wawasan Negara (KWN) di Perlis, Kedah dan Perak.

Katanya, setiap satu kem berkenaan menempatkan seramai 100 orang peserta.

“Kursus jati diri ini bertujuan untuk memberi impak positif kepada para belia khususnya dalam membentuk karakter dan mempunyai sifat kesiapsiagaan untuk terus komited dalam melaksanakan sesuatu walaupun menempuh pelbagai cabaran dan halangan.

“Belia yang terlibat mempunyai kekuatan dan kemampuan dalam diri masing-masing yang boleh dibangunkan secara optimum ke arah mencapai sahsiah unggul dan jati diri yang mantap,” katanya.

Sementara itu, Tuanku Syed Faizuddin bertitah, pelaksanaan kem ini juga bertujuan bagi memberikan pendedahan tentang isu dan cabaran melalui penyatuan masyarakat dalam membina negara bangsa.

Harapan baginda agar segala ilmu yang bakal dipelajari perlu dipraktikkan dalam sosio masyarakat setempat supaya manfaat ini akan mampu memberikan impak yang baik kepada negeri Perlis khususnya.

“Ilmu kepimpinan melalui nilai jati diri anak watan semestinya ada bagi belia negeri ini dalam menjadikan Perlis sebagai Maju dan Hebat,” titah baginda.

Pada majlis berkenaan turut dimeriahkan dengan sesi salam surai berupa flag-off peserta selain baginda berkenan menyempurnakan simbolik pengurniaan bendera negeri Perlis kepada ketua-ketua bagi tiga kem yang terlibat.

Antaranya, Ketua Kem Wawasan Negara Kaki Bukit Perlis, Mohd Saiful Md Desa, Ketua Kem Wawasan Negara Kulim Kedah, Mohd Faizul Mohd Toff dan Ketua Kem Wawasan Negara Ulu Kenas Perak, Mohd Termizi Mat Bunor.

Tuanku Syed Faizuddin menzahirkan agar program ini akan menjadi pemangkin bagi mengenengahkan dan menarik minat belia terutamanya anak watan di negeri ini agar sentiasa ada pembudayaan belia aktif di peringkat komuniti.

Baginda juga berharap kerjasama di antara agensi-agensi negeri ini dan agensi latihan seperti i-LEAD, KBS menerusi pelbagai inisiatif mampu memberi manfaat kepada belia Perlis dalam kualiti dan kesejahteraan hidup belia Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya