LUMUT: Sisa peralatan perikanan, sisa plastik, aluminium, tin, logam serta kaca dan polisterin seberat 2.28 metrik tan antara bahan sukar reput yang dikumpul oleh 50 sukarelawan yang menyertai program membersihkan pulau tersebut sempena Hari Konservasi Pulau Sembilan 2023 di sini baru-baru ini.
Naib Presiden Persatuan Konservasi Samudera Perak (Ocean 9), Raja Nor Safrina Raja Shahrul Zaman berkata, sukarelawan terbabit dari Kumpulan Program Jiwa Murni Tentera Laut Diraja Malaysia, Ocean 9 dan Persatuan Sahabat Aktivitis Alam (Kuasa) bergabung tenaga pada program anjuran Perbadanan Taman Negeri Perak itu.
Menurutnya, program itu kali kedua diadakan bersama Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris.
Beliau berkata, program ini bertujuan membersihkan pencemaran di Pulau Sembilan di samping menyumbang kepada keseimbangan ekosistem kawasan sekitarnya.
“Pulau Sembilan adalah pulau yang tidak berpenghuni, sampah sarap yang terperangkap di pulau ini dibawa oleh arus Selat Melaka. Ia juga datang daripada aktiviti nelayan, daripada persisiran pantai berdekatan dan sungai.
“Menerusi program ini kami mengutip sisa peralatan perikanan, sisa plastik, aluminium, tin, logam serta kaca dan polisterin.
“Bahan-bahan ini sukar reput dan boleh memberi kesan terhadap alam sekitar dan secara keseluruhannya, sejumlah 2,282.70 kilogram atau 2.28 metrik tan berjaya dibawa keluar dari pulau ini,” katanya.
Menurutnya, menjadi tanggungjawab semua pihak dalam menjaga kerbersihan dan kelestarian alam.
“Katanya, ini kerana sampah yang buang akan memberi kesan kepada kesejahteraan kehidupan manusia serta kelestarian kehidupan haiwan di atas darat mahupun lautan.
“Kami berharap aktiviti konservasi Pulau Sembilan ini dapat memberi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat dan pihak yang terlibat untuk memainkan peranan masing-masing dalam memelihara alam sekitar bagi mewujudkan persekitaran yang lebih sihat dan ekosistem yang lebih baik,” katanya. – UTUSAN