Wanita Uganda ajar dunia masakan China

Wanita Uganda ajar dunia masakan China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KISAH seorang wanita Uganda jatuh cinta dengan petani dan sanggup berpindah ke kawasan kampung di China telah menaikkan nama Rose dalam media sosial.

Blogger berusia 29 tahun itu menetap di kawasan kampung di daerah Suichang di wilayah Zhejiang selepas berkahwin dengan kekasihnya, Wu Jianyun yang dikenali sejak 2014.

Rose yang fasih berbahasa Mandarin mula aktif dalam media sosial menerusi aplikasi Douyin pada tahun lalu dan kini, sudah mempunyai seramai 11 juta pengikut dan 160 juta tanda like pada semua hantarannya.

PIKAT DUNIA DENGAN MASAKAN
Biarpun berbeza budaya, Rose sedikit pun tidak kekok menunjukkan bagaimana cara memasak juadah masyarakat China.

Wanita itu tidak canggung menyediakan bahan-bahan yang diperlukan untuk memasak juadah Cina, selain seperti sudah biasa merasai makanan berkenaan.

Selain menyediakan pelbagai juadah makanan, Rose juga boleh memasak makanan sempena perayaan dan festival masyarakat China.

Sehubungan itu, wanita kelahiran Uganda itu turut digelar sebagai Li Ziqi Afrika iaitu merujuk kepada blogger makanan Cina terkenal.

Video masakannya bukan sahaja tular di China, malah di serata dunia termasuk Malaysia.

Antara video masakannya yang paling mendapat perhatian adalah ikan stim bercili yang ditonton lebih 80 juta kali dan menerima 1.5 juta like.

 

PALING FASIH BAHASA CINA
Kemahirannya berkomunikasi dalam bahasa Mandarin menjadikan Rose digelar sebagai ‘isteri warga asing paling fasih berbahasa Cina’ oleh pengguna Douyin.

Selain bahasa, Rose juga dilihat amat memahami budaya orang Cina, malah tidak kekok bergaul dengan jiran tetangga.

Malah ada dalam kalangan jirannya menyifatkan bahasa Cina Rose lebih sedap didengar berbanding mereka yang dilahirkan sudah bertutur bahasa tersebut.

Rose juga ringan tulang apabila sering membantu jiran tetangga bertani dan melakukan kerja bersama.

“Saya rasa amat diterima di sini (China) dan semua penduduk kampung sangat baik dengan saya.

“Saya memang suka merakam video dan gembira kerana dapat melakukan apa yang saya suka,” katanya.

Kisah cinta dua benua antara Rose dengan suaminya juga mendapat perhatian pelbagai pihak.

Ada dalam kalangan mereka tertanya-tanya apakah yang dimiliki Rose atau suaminya sehingga mereka saling tertarik dan akhirnya berkahwin.

Pada Rose, perbezaan warna kulit, agama dan budaya bukanlah menjadi isu buatnya.

“Saya juga tidak pernah menyangka akan berkahwin dengan orang Cina kerana China dan Afrika amat berbeza.

“Tetapi, siapa saya mahu tolak rezeki dan tuah? Saya sering beritahu anak kami, semua perkara boleh berlaku jika kita inginkannya,” ujar Rose.

REZEKI DI CHINA
Rose dilahirkan dalam keluarga miskin di Uganda dan peluang ke China menjadi rezeki untuknya membantu keluarga keluar daripada kemiskinan.

Pada awalnya wanita ini bekerja di kedai perabot milik warga China di Uganda dan ketika itulah dia berkenalan dengan suami secara dalam talian menerusi sepupunya.

Rose memberitahu, pada awal perkenalan mereka, dia tidak berani untuk berkongsi gambar dengan Wu kerana bimbang menjadi mangsa perkauman.

Namun, Rose cekalkan hati dan menghantar gambarnya kepada Wu dan tidak lama selepas itu, mereka memutuskan untuk menjalin hubungan dengan Rose pergi ke China dan berkahwin pada 2015.

Pada mulanya, Rose mengalami kesukaran membiasakan diri di negara berkenaan, namun semuanya berubah sedikit demi sedikit.
Anak lelaki mereka, Wu Zian dilahirkan pada 2016.

Tahun lalu, sebuah syarikat budaya tempatan menawarkan kerja sebagai pempengaruh kepada Rose menghasilkan video mengenai masakan dan sedikit kehidupannya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya