APAPUN yang dilakukannya misinya hanya satu, untuk meletakkan Malaysia di mata dunia.
Biarpun sudah menetap di Switzerland selama 12 tahun selepas mendirikan rumah tangga dengan Andre Herzog, jati diri Sharifah Nurul Huda Al Attas, 38, sebagai orang Malaysia tidak pernah pudar.
Walaupun berpenampilan urban dan mewah, beliau sebenarnya amat mencintai budaya masyarakat Malaysia. Malah, rumahnya di Luzern, Switzerland dianggap sebagai Mini Malaysia.
“Tetamu yang datang ke rumah kena buka kasut. Saya dan suami pun makan menggunakan tangan. Ada juga rakan lain yang terikut cara kami makan guna tangan.
“Saya percaya, bila kita di luar, kita adalah duta kecil negara. Kalau orang bercakap buruk pasal tanah air kita, tentu kita tidak setuju. Lebih-lebih lagi di sana, orang Malaysia tidak ramai,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Pengasas fesyen ini baharu sahaja melancarkan koleksi fesyennya, Lady of Leisure di Kuala Lumpur 31 Ogos lalu.
Koleksi itu sebagai dedikasi untuk Malaysia, malah semua elemen dalam persembahan fesyen itu digerakkan berdasarkan cinta untuk negara dan sesama masyarakat.
“Kita adalah negara kita. Misi utama adalah mengingatkan semula nilai-nilai masyarakat kita. Mana pergi budaya timur kita?
“Sebagai contoh, di majlis-majlis, saya pernah dengar tetamu di barisan belakang kata, orang biasa tak boleh duduk depan. Orang bergelar atau berpangkat pula, merungut kenapa tak letak mereka di depan,” katanya yang selesa dipanggil Dada Herzog Al Attas.
Di Switzerland, katanya, ramai bertaraf billionaire tetapi mereka memberi layanan sama rata tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Hidup ini perlu bermasyarakat dan saling memerlukan antara satu sama lain tanpa mengira status sosial,” katanya.
Kesamarataan itu diterapkan ketika pertunjukan fesyennya apabila semua orang duduk satu barisan.
“Ramai sudah terlupa nilai-nilai mulia masyarakat yang saling menghormati.
“Jadi, kita mula di sekitar kita dulu. Kalau semua pihak pandai memainkan tanggungjawab masing-masing, negara boleh menjadi lebih harmoni. Itu yang kita cuba cipta dalam masyarakat fesyen,” katanya.
Ayah jadi inspirasi
Lahir dalam keluarga Al Attas yang terkenal sebagai cendekiawan dan pemikir Islam, banyak mempengaruhi cara pemikiran Sharifah Nurul dalam mencari haluan kerjayanya.
Semangat cintakan negara yang sering ditonjolkan ayahnya, Syed Ali Al Attas yang sentiasa meletakkan keutamaan negara dalam apa jua situasi, turut tersemai dalam jiwanya.
“Saya perlu bawa pemikirannya tetapi mungkin tidaklah sampai ke tahap yang beliau sudah capai. Saya akan buat dengan cara saya iaitu menerusi seni.
“Apa yang mampu dilakukan adalah melalui pendidikan dan kesedaran menyanjung budaya sendiri dan menerapkan cinta pada negara.
“Perasaan ini sebenarnya kena bermula dari rumah seperti yang ditunjukkan ayah dan emak saya. Mereka masih romantik dan berpegangan tangan sehingga ke hari ini,” katanya.
Sharifah Nurul Huda turut mengagumi Allahyarham neneknya, Siti Mahani Sheikh Ahmad yang sangat mengambil berat soal penampilan dan kecantikan.
“Setiap hari, arwah berpakaian cantik dan bersolek serapinya walaupun hanya di rumah. Semua itu dilakukan sebagai penghormatan untuk diri dan orang lain.
“Malah, nenek banyak memberikan inspirasi untuk saya mendalami dunia fesyen dan kecantikan.
“Saya juga banyak belajar memasak daripadanya. Dulu saya tidak pandai memasak dan selalu telefon nenek untuk bertanyakan resipi.
Sekarang saya sudah suka memasak,” katanya.
Tambah Sharifah Nurul Huda lagi, menu kegemarannya ialah ayam masak merah , bahkan turut memasak juadah itu untuk diberikan kepada rakan-rakan dan jiran.
“Secara tidak langsung, kawan-kawan di Switzerland tahu mengenai makanan negara kita. Di Switzerland, ada banyak restoran Thailand dan Indonesia tetapi tiada restoran masakan Malaysia,” katanya.
Tonjol keunikan Malaysia
Selain makanan, banyak produk negara Thailand dan Indonesia dijual di Switzerland. Ia menimbulkan persoalan di manakah silapnya apabila tiada produk dari Malaysia?
“Saya mahu tunjukkan yang Malaysia juga mempunyai tarikan tersendiri. Jadi, saya berhasrat mewujudkan hab untuk usahawan kecil dan sederhana (SME) ke pasaran Asia Tenggara.
“Saya berjaya pujuk pelabur untuk datang ke Malaysia. Bila sudah ada rakan perniagaan yang betul, saya boleh fokus pada minat dalam seni. Fesyen juga sebahagian daripada seni selain lukisan,” katanya yang ingin mewujudkan masyarakat yang minat seni selain mengintegrasikan dunia fesyen dengan seni serta pelukis.
Bagi tujuan itu, beliau turut menjalin kerjasama dengan galeri seni di Perancis untuk menjayakan projek fesyen dan seni, tahun depan.
Pempengaruh jam tangan Dubois dan coklat Lindt ini berkata, setiap rekaan pakaiannya adalah berasaskan nilai dan persona pelanggan.
Ia bagi memastikan rekaan dihasilkan mampu memberikan kesan langsung kepada sosial.
“Setiap baju akan dibida dengan sebahagian keuntungan akan didermakan kepada badan amal pilihan pelanggan. Mereka pasti bangga dapat menyumbang kepada masyarakat,” katanya.
Bertemu jodoh atas bas
Mengimbas semula memori pertemuan tanpa dirancang dengan suami, Sharifah Nurul Huda menyifatkannya umpama adegan dalam filem romantik.
Ketika itu, beliau masih menuntut di Milan dan bercuti hujung minggu bersama emak di samping mak cik dan pak cik yang datang menziarahi.
“Mulanya, mereka ajak ke London tetapi saya menolak sebab ada peperiksaan. Selepas mereka merayu, saya pergi juga. Minggu kedua pula, saya diajak ke Paris.
“Sampai di sana, pakcik ajak naik bas dua tingkat. Saya duduk seorang diri di belakang, sibuk ambil gambar. Tiba-tiba datang seorang lelaki minta duduk di sebelah dan dia tanya dari mana. Dengan bangga saya jawab dari Malaysia dan belajar di Milan. Rupanya dia pun pernah ke Malaysia atas urusan kerja,” katanya.
Seminggu selepas itu, Sharifah Nurul Huda menerima emel dari pejabat dekan. Apabila dibuka, rupanya ia adalah emel yang dihantar oleh pemuda di dalam bas.
“Di bawah emel itu, ada gambar saya yang diambil secara curi-curi. Memandangkan sudah ada teman lelaki, saya ambil keputusan untuk tidak layan. Saya sangka dia stalker tetapi saya masih terimanya sebagai kenalan.
“Selepas dua tahun, saya letak gambar seorang diri di media sosial kemudian dia mesej. Masa itu, saya berada di Oxford dengan mak cik dan adik. Dari situ, hubungan kami semakin rapat sehingga mendirikan rumah tangga pada 2010,” katanya. -UTUSAN