TSG suka dalam duka

TSG suka dalam duka

PELUMBA Pasukan Terengganu Polygon Cycling, Jambaljamts Sainbayar akan meninggalkan pasukan itu musim hadapan-UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Pasukan harapan negara, Terengganu Polygon Cycling (TSG) terpaksa akur apabila hanya mampu meraih gelaran ‘pelumba paling agresif (Most Combative Rider) menerusi Jambaljamts Sainbayar ketika perlumbaan peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) yang berlangsung semalam.

Perlumbaan yang bermula dari Karak ke Bandar Hilir, Melaka dengan jarak laluan sejauh 174 kilometer (km) semalam menyaksikan jaguh Mongolia itu cuba untuk mendapatkan kedudukan terbaik setelah TSG masih lagi kempunan sebarang kemenangan podium untuk edisi LTdL tahun ini.

Buktinya Sainbayar agresif menguasai dua daripada tiga zon pecutan yang ditawarkan iaitu di kilometer 34.4 Pelangai dan km 81.8 Batu Kikir serta dua zon dakian iaitu di km 20 Gapoi dan km 104.6 Luak Inas.

Malah, dia sempat beberapa kali cuba mendahului perlumbaan sebelum ditangkap semula oleh kelompok besar peloton yang menyaksikan dia akur mengakhiri saingan di kedudukan ke-14 keseluruhan.

“Apa pun anugerah ini tetapi penting untuk pasukan kerana kami adalah pasukan tuan rumah. Saya tahu masih ada dua lagi perlumbaan dan jarak antara saya dengan pemegang jersi putih sudah semakin jauh, tetapi saya akan cuba juga memberikan tentangan sengit untuk perlumbaan esok (hari ini) dan lusa (esok).

“Kami masih belum berputus asa, dua perlumbaan selepas ini nampak akan menjadi rebutan banyak pakar pecut dan saya rasa pelumba pecut pasukan kami, (Harrif Salleh dan Youcef Reguigui) masih berpeluang melakukan sesuatu,” jelas Sainbayar yang merupakan penyandang jersi putih, Pelumba Terbaik Asia LTdL tahun lalu.

Terdahulu, TSG sempat merampas jersi bintik merah, Raja Bukit menerusi Nur Amirull Fakhruddin Mazuki ketika perlumbaan peringkat kedua dari Kuala Terengganu ke Kota Bahru pada Sabtu lalu.

Bagaimanapun impian TSG untuk merampas jersi itu bersama-sama jersi putih sekaligus mengulangi kejayaan pada edisi tahun lalu dianggap sukar memandangkan jurang pungutan mata dan masa yang terlalu jauh.

LTdL 2023 akan meneruskan perlumbaan peringkat ketujuh pada hari ini dari Muar ke Seremban dengan jarak sejauh 125.7 km, iaitu jarak paling singkat sepanjang edisi kali ini.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya