PETALING JAYA: Malaysia terus mengganas dalam saingan hoki lelaki Sukan Asia 2022 apabila membelasah Oman 11-1 pada aksi kedua Kumpulan B di Stadium Gongshu Canal Sport Park, Hangzhou hari ini.
Selepas membedil Thailand 9-0 dalam perlawanan pertama, Ahad lalu, Speedy Tigers menunjukkan keghairahan untuk memburu pingat emas dengan melakar rekod kemenangan terbesar mereka.
Mohamad Ashran Hamsani meledak hatrik menerusi tiga jaringan padang, sementara Muhammad Razie Rahim, Faizal Saari dan Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing menjaringkan dua gol.
Dua lagi jaringan Malaysia disempurnakan oleh Shello Silverius dan Muhammad Najmi Farizal Jazlan.
Malaysia tidak menunggu lama untuk merobek gawang lawan apabila memanfaatkan pukulan sudut penalti seawal minit ke-3 menerusi Razie yang melakukan satu flik mengelirukan lawan.
Minit ke-11, Razie menggandakan kedudukan kali ini menerusi penalti stroke selepas Azrai dikasari di hadapan pintu gol lawan sebelum giliran Ashran bijak membaca bola lorongan Muhajir Abdul Rauf menjaringkan gol pertamanya pada minit ke-14.
Malaysia yang menghuni ranking ke-10 dunia dijangka tidak berdepan masalah apabila menentang Indonesia, pasukan No. 60 duniadi venue sama, Khamis ini. – UTUSAN ONLINE