KUALA LUMPUR: Persatuan Sukan Pemotoran Malaysia (MAM) mengesahkan satu siasatan sedang dijalankan oleh Peseruhjaya Sukan (PJS) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung penganjuran Drag Bike National ET Record Championship 2023 di Pekan, Pahang yang mengorbankan seorang pelumba, lebih seminggu yang lalu.
Presiden MAM, Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, selain, PJS dan PDRM, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) juga terbabit dalam siasatan kes tersebut dan pihaknya masih menunggu keputusan dibuat.
“Sekarang ini kalau tak salah saya pengumpulan fakta sedang dijalankan dan saya difahamkan memang ada isu, jadi biasalah mereka akan selidik dapatkan fakta dan ambil tindakan yang sesuai.
“Kita pernah ada perbincangan dengan PJS, KBS dan PDRM pada awal tahun ini, untuk kemas kini undang-undang yang boleh diguna pakai bagi penganjuran sukan pemotoran sebelum ia dicadangkan dan diwartakan,” katanya.
Pelumba drag profesional, Muhammad Hattem Rashdi, 22, terkorban dalam perlumbaan tersebut yang tidak mendapat kelulusan MAM dan Allahyarham menghembuskan nafas terakhirnya di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan selepas kira-kira 15 jam bertarung nyawa akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurut Mokhzani, siasatan menyeluruh diperlukan bagi memastikan acara sukan pemotoran dapat dianjurkan secara selamat kerana semua sedia maklum sukan tersebut amat berbahaya.
Jelas beliau, pihaknya bertanggungjawab mengurangkan risiko dalam usaha memastikan peserta dan juga penonton dilindungi dengan sewajarnya mengikut peraturan yang digariskan.
“MAM ditugaskan oleh FIA dan FIM untuk menjalankan kerja-kerja ini, kita ada kakitangan berpengalaman dan berkelayakan bagi membantu menganjurkan sama acara acara itu besar atau kecil.
“Kita boleh memastikan dan memantau supaya semua ikut garis panduan yang ditetapkan bagi mengurangkan risiko,” ujarnya.
Mokhzani juga menolak andaian bahawa garis pandauan yang disediakan terlalu ketat atau terlalu mahal kerana keutamaan pihaknya adalah memastikan semua penganjur mematuhi peraturan sedia ada.
“Saya rasa semua (andaian) itu tidak betul, apa yang kita hendak pastikan bahawa semua acara sukan bermotor ini berjalan dengan selamat, itu keutamaan kita kerana apabila ada kematian, ia satu kesalahan yang serius,” tegas beliau.
Sementara itu, dalam perkembangan lain, ketika ditanya pemberita mengenai pemilihan MAM yang akan dilaksanakan pada awal Oktober depan, Mokhzani mengesahkan bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya sebagai presiden.
“Saya akan bertanding, terserah kepada ahli-ahli MAM untuk memilih sama ada saya dikekalkan atau tidak kerana masih ada perancangan yang kita buat sejak 2019 perlu dikemas kini,” katanya. – UTUSAN ONLINE