MUKADIMAH
TEMASYA Sukan Asia Hangzhou 2023 akan membuka tirai pada 23 September hingga 8 Oktober ini dan kontinjen negara diminta untuk berjuang sehabis baik serta meletakkan sasaran emas sebagai matlamat utama.
Selain memburu pingat, setiap atlet turut membawa harapan besar rakyat Malaysia demi mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa, selain maruah diri mereka untuk menentukan sama ada pulang dengan kejayaan atau sebaliknya.
Pada temasya yang dilangsungkan empat tahun sekali, di mana edisi lalu di Jakarta 2018, kontinjen negara berjaya membawa pulang tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa yang melibatkan 447 berbanding kali ini hanya 289 atlet sahaja.
Wartawan Utusan Malaysia ROZAIDI ZULKIFLI dan jurugambar AMIN AZMAN menemubual Ketua Kontinjen Negara (CDM) di Sukan Asia, Datuk Chong Kim Fatt berkaitan persediaan dan harapan beliau buat semua kontinjen yang akan ke temasya berkenaan.
PERSEDIAAN ATLET
UTUSAN MALAYSIA : Bagaimana persediaan dan kesediaan atlet untuk menghadapi Sukan Asia Hangzhou?
KIM FATT: Secara keseluruhan persediaan sudah hampir 99 peratus daripada segi teknikal, fizikal dan kami sudah bersedia.
Laporan yang saya terima setakat ini sama ada atlet yang berlatih di dalam negara dan luar negara berada dalam keadaan baik, malah kita sentiasa memantau perkembangan mereka selain berharap dijauhi masalah kecederaan.
Untuk ke temasya yang besar, dalam tempoh dua minggu sebelum bermula paling penting adalah psikologi kerana berdasarkan post mortem pada temasya-temasya sebelum ini, kita mendapati atlet kita kebanyakkan berdepan dengan masalah psikologi tak cukup kuat.
Contoh semasa sudah masuk final, dia sudah berasa puas hati hingga kurang keinginan untuk mendapatkan emas, sepatutnya perlu ada semangat untuk dapat emas dan berjuang mati-matian. Mungkin faktor ini perlu dipertingkatkan dan selepas ini kita perlu mewujudkan satu program yang baharu seiring dengan peredaran zaman.
Bukan saya cakap program sedia ada tak bagus tetapi perlu ada pertambahan dan penambaikan kerana pemikiran serta produk atlet zaman dahulu dengan atlet generasi sekarang berbeza.
Bermakna, penerapan dan program yang perlu diterapkan juga harus berbeza dan ini menjadi cabaran untuk semua pihak terutamanya Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN), persatuan-persatuan sukan, Kementerian Belia dan Sukan serta pihak berkaitan perlu bekerjasama memikirkan mekanisme baharu yang perlu dibangunankan segera bagi memastikan sukan kita terus membangun.
UTUSAN MALAYSIA: Ramai pihak memperkatakan bahawa prestasi sukan negara telah merosot selepas kegagalan di Sukan SEA Kemboja dan kini Sukan Asia menjadi tumpuan, adakah ianya memberi tekanan?
KIM FATT: Untuk saya tiada tekanan dan saya percaya dengan kemampuan atlet-atlet negara kita mampu mencipta kejayaan. Tentang kemerosotan prestasi, ini saya ingin membuat sedikit pembetulan. Prestasi sukan kita bukan merosot tetapi ada peningkatan cuma tidak banyak dan ia sudah mencapai tahap yang maksimum berdasarkan program yang sedia ada. Seperti apa yang saya cakap, kita perlu ada program dan sistem baharu bagi mengelak prestasi sukan kita tidak melonjak dan ketinggalan dengan negara-negara lain.
UTUSAN MALAYSIA: Jumlah atlet dan sasaran Malaysia di Sukan Asia?
KIM FATT: Jumlah atlet yang akan ke sana nanti adalah 289, pegawai yang akan bersama atlet 119. Tetapi Kontinjen saya kali ini adalah 450 termasuk pengamal media iaitu 42 orang yang akan turut bersama-sama membawa nama Malaysia di temasya itu.
Saya masih ambil pencapaian di Jakarta 2018 yang berjaya meraih tujuh emas sebagai sasaran minimum tapi semua pihak perlu faham Sukan Asia itu berlangsung sebelum Covid-19 dan kali ini ada sukan tidak dipertandingkan contohnya boling yang telah menyumbang dua emas maka sudah hilang dua emas buat Malaysia. Jumlah pungutan pingat juga akan berkurangan dan faktor ini juga harus dilihat tetapi bukan bermakna saya mahu mencari alasan.
Semua juga sedia maklum tentang ketidakstabilan politik selepas 2018 pun menyumbang kepada prestasi sukan negara kerana berlaku beberapa pertukaran menteri dan sebagainya tetapi saya menganggap ini adalah satu cabaran untuk saya dan kontinjen yang akan bertanding kali ini.
Saya harap semua pihak memainkan peranan dan memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet negara, jangan menyokong saat atlet meraih kejayaan sahaja dan mengkritik secara keterlaluan ketika mereka pulang dengan tangan kosong.
Sukan yang kita sasarkan mampu membutirkan pingat adalah skuasy, basikal, karate, hoki, sepak takraw dan perahu layar.
UTUSAN MALAYSIA: Kemampuan China mengendalikan acara sukan semua sedia maklum bagaimana pengendalian Sukan Olimpik di Beijing tetapi kali ini selepas Covid-19 adakah mereka masih mampu melakukannya?
KIM FATT: Saya sudah melawat venue pada akhir bulan Mac, keadaan memuaskan dan saya boleh katakan lima bintang daripada segi penginapan, pengangkutan, makanan dan segalanya tiada masalah.
China, mereka pernah menganjurkan Sukan Olimpik dan untuk Sukan Asia mereka sudah bersedia untuk memberi yang terbaik untuk semua negara yang bertanding.
Tentang makanan halal pun tiada masalah kerana di Hangzhou banyak tempat-tempat halal termasuk restoran yang menawarkan perkhidmatan 24 jam, jadi tiada isu untuk mencari makanan halal di sana.
Sistem Malaysia demokrasi dan China adalah komunis jadi mereka sangat tegas serta tiada tolak ansur maka kita tidak boleh melakukan kesilapan.
Justeru, saya meminta atlet, pegawai, media dan semua yang akan mewakili Malaysia ke sana nanti, mohon ikut segala garis panduan yang ditetapkan penganjur.
Saya percaya pertandingan akan berjalan lancar dan tidak akan ada isu seperti mana berlaku di Sukan SEA Kemboja sebelum ini.
UTUSAN MALAYSIA: Amanat anda kepada semua atlet yang bertanding?
KIM FATT: Pergi untuk emas dan harumkan nama negara. Saya percaya tiada seorang atlet pun mahu pulang dengan tangan kosong, jadi buktikan kepada semua anda (atlet) telah memberi yang terbaik serta berjuang habis-habisan.
Semangat dan persembahan seperti itu sudah cukup untuk memberi kegembiraan kepada diri sendiri serta rakyat Malaysia.