Pengurangan cukai mampu rancakkan pemasangan solar di kediaman - Utusan Malaysia

Pengurangan cukai mampu rancakkan pemasangan solar di kediaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMASANGAN panel solar di atas bumbung kediaman bukan sahaja dapat mengurangkan bebanan bil elektrik rakyat bagi jangka masa panjang malah selari dengan peralihan negara ke fasa ekonomi hijau.

Pengumuman Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pada Mei lalu bahawa kerajaan akan memperkenalkan langkah baharu bagi mempermudahkan dan menyebarluaskan penggunaan solar di kediaman domestik dilihat bakal merancakkan lagi penggunaan tenaga boleh diperbaharui itu.

Selain itu, Rafizi pada pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) pada Julai tahun ini turut memaklumkan kerajaan akan memberi tumpuan membenarkan lebih banyak projek perumahan bandar bersepadu berskala besar untuk mempakejkan pemasangan panel solar atas bumbung.

Menurut beliau, ia bagi menggalakkan lagi pemasangan panel solar di atas bumbung kediaman secara komersial tanpa pembiayaan kerajaan dan pemaju boleh menetapkan harga masing-masing.

Bagaimanapun, terdapat persoalan dalam kalangan rakyat mengenai cadangan berkenaan sama ada ia bakal menyebabkan kenaikan harga rumah atau tidak memandangkan kos pemasangan panel solar di atas bumbung dianggarkan berharga antara RM40,000 hingga RM50,000.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Pegawai Operasi I M K Land Holdings Berhad (M K Land), Ahmad Soalahuddin Al-Thani Ahmad Termizi berkata, sebagai syarikat hartanah Bumiputera, M K Land sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam melestarikan alam sekitar.

Menurut beliau, seruan kerajaan agar pemaju-pemaju perumahan menyediakan pakej panel solar di dalam projek perumahan merupakan langkah yang tepat selari dengan usaha kerajaan menggalakkan pertumbuhan tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, M K Land melalui anak syarikatnya Solar Citra Sdn. Bhd. baru-baru ini telah melancarkan ladang solar berskala besar dibawah program LSS4 dengan kapasiti 10.95 MW di Lembah Beriah, Perak.

“Bagi projek hartanah pula, M K Land bakal menyediakan sistem pemanas air berkuasa solar sebagai salah satu nilai tambah kepada pembeli fasa terbaru Rafflesia @Hill di Damansara Perdana.

“Tidak cukup dengan itu, pihak kami juga sedang merancang untuk menyediakan solar bumbung dalam pakej harga kami untuk kediaman mewah di atas tanah pada masa akan datang sebagai bukti M K Land sentiasa memberi komitmen dalam memperkasakan Agenda Hijau Negara untuk jangka masa panjang,” katanya.

Ditanya sama ada langkah kerajaan membenarkan lebih banyak projek perumahan bandar bersepadu berskala besar untuk mempakejkan pemasangan panel solar atas bumbung sesuai atau tidak buat masa ini, Ahmad Soalahuddin berkata, ia merupakan masa yang tepat.

Bagaimanapun, menurutnya, syarat kos sistem solar bumbung perlulah berpatutan selain pihak bank perlu turut bersetuju untuk memasukkan kos sistem solar sepenuhnya dalam pinjaman perumahan.

“Ini adalah masa yang tepat untuk pemaju menyediakan pakej solar bumbung namun pihak bank perlu setuju untuk memasukkan kos sistem solar ini sepenuhnya dalam pinjaman perumahan.

“Selain itu penjimatan bil elektrik yang pembeli rumah boleh perolehi serta hasil pelaburan untuk sistem solar ini perlulah signifikan kepada mereka,” katanya.

Ujar beliau, meskipun kos pemasangan panel solar di atas bumbung semakin murah sekitar RM40,000 tetapi ia masih dianggap tinggi jika dibandingkan dengan harga rumah kos rendah, dan lebih sesuai untuk kategori rumah separa mewah dan mewah.

“Justeru, penggunaan sistem solar di kediaman boleh ditingkatkan dengan menggalakkan perkembangan industri tersebut di Malaysia selain mengurangkan cukai pemasangan panel solar di atas bumbung sama ada kepada pemaju mahupun pembeli.

“Kerajaan juga boleh memberi atau menggalakkan pinjaman bank dan koperasi khas untuk pemasangan panel solar selain memberi rebat cukai kepada pemaju dan kontraktor yang menyediakan pakej berkenaan dalam projek perumahan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property Berhad (SDP), Datuk Azmir Merican dalam satu kenyataan berkata, penglibatan SDP dalam tenaga boleh diperbaharui ini mewujudkan pelbagai aliran sumber pendapatan, serta membawa kepada era pertumbuhan mampan untuk syarikat dan pelaburnya.

Beliau berkata, SDP sedang melihat kepada penyelesaian bumbung solar dengan 1,000 unit tanah kediaman sebagai projek perintis di Bandar Elmina, Shah Alam yang menerajui perbandaran hijau dan pengurangan pelepasan karbon.

Katanya, dengan projek perintis yang berjaya, inisiatif itu mampu diperluaskan kepada 10,000 rumah Sime Darby Property pada masa hadapan untuk dilancarkan dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Ini bukan sahaja mengenai penjanaan tenaga malah ia juga tentang pewujudan ekosistem di mana bekalan daripada bumbung rumah yang tidak digunakan sebelum ini yang dibina oleh Sime Darby Property dimanfaatkan untuk memenuhi permintaan tenaga hijau yang semakin tinggi.

“Di bawah model ini, bumbung dipajak daripada pembeli rumah untuk pemasangan penyelesaian solar dan tenaga solar yang dijana di perbandaran diguna pakai oleh pengguna-pengguna berpermintaan tinggi dari sektor runcit, komersial atau perindustrian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya